Jumaat, 5 Ogos 2022 | 3:44pm
Norena (kiri) memeriksa tangki dan peralatan di premis dijadikan stor haram menyimpan minyak diesel bersubsidi dipercayai untuk dijual di pasaran gelap kepada industri di Kawasan Perindustrian Krubong, Melaka. - Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Norena (kiri) memeriksa tangki dan peralatan di premis dijadikan stor haram menyimpan minyak diesel bersubsidi dipercayai untuk dijual di pasaran gelap kepada industri di Kawasan Perindustrian Krubong, Melaka. - Foto Meor Riduwan Meor Ahmad

KPDNHEP Melaka rampas 12,000 liter minyak diesel diseleweng

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka merampas 12,000 liter minyak diesel bersubsidi dipercayai diseleweng dalam serbuan di sebuah premis di kawasan Perindustrian Krubong, di sini jam 2 petang semalam.

Pengarahnya, Norena Jaafar, berkata selain diesel yang ditemukan dalam tangki tambahan lori dan tangki minyak, rampasan turut membabitkan dua lori tangki, dua tangki simpanan minyak, 20 tangki tambahan serta paip penyambung dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM186,000.

Serbuan dengan kerjasama polis itu hasil risikan selama dua minggu terhadap premis terbabit yang dijadikan stor penyimpanan dan penjualan haram serta kenderaan digunakan untuk kegiatan penyelewengan.

"Hasil siasatan mendapati modus operandi digunakan adalah dengan menggunakan lori satu hingga tiga tan mereka membuat isian antara RM300 hingga RM500 di setiap stesen minyak di sekitar negeri ini, selain berselindung dan menutup tangki menggunakan kanvas," katanya pada sidang media di lokasi premis itu yang di sita hari ini.

Norena berkata, semasa serbuan tiga lelaki tempatan dan dua warga Bangladesh yang juga pemandu dan kelindan lori serta penjaga stor berusia antara 37 dan 55 tahun turut ditahan.

Semua lelaki berkenaan direman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Siasatan mendapati aktiviti penyelewengan itu aktif sejak lima bulan lalu dan mendapat permintaan daripada pihak industri yang membawa kenderaan mereka bagi memindahkan minyak diesel itu dari tangki simpanan di premis itu.

Harga minyak diesel dibeli di pasaran adalah lebih murah iaitu RM2.15 seliter yang kemudian dijual di pasaran gelap dengan harga RM4.50 seliter kepada pihak industri. Harga sebenar untuk industri ialah RM5.15 seliter.

"Kita juga mahu ingatkan kepada pihak industri supaya tidak membeli diesel melalui penjualan tidak sah kerana ia melanggar peraturan dan boleh dikenakan hukuman berat sekiranya didapati bersalah. Stesen minyak juga diminta memantau kegiatan ini sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X