Selasa, 2 Ogos 2022 | 1:33pm
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - foto fail BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - foto fail BERNAMA

Negara jiran kongsi maklumat pergerakan kes cacar monyet

KUALA LUMPUR: Perkongsian maklumat pergerakan kes antara langkah diambil Malaysia bersama negara jiran dalam menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan cacar monyet.

Biarpun belum ada kes dilaporkan di negara ini, langkah pencegahan dan kawalan menjadi keutamaan selepas kebimbangan peningkatan kes di Singapura dan Thailand, selain kes turut mula dikesan di Filipina.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkongsian maklumat pergerakan kes yang disahkan cacar monyet ke dalam Malaysia dikongsikan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui National Focal Point for International Health Regulations (IHR 2005) negara masing-masing.

"Ia bertujuan agar siasatan kes serta pengesanan kontak rapat serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan dapat dijalankan dengan segera," katanya kepada BH.

Beliau mengulas kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman cacar monyet susulan peningkatan kes di negara jiran, Singapura dan Thailand.

Individu dijangkiti cacar monyet. - Foto fail AFP
Individu dijangkiti cacar monyet. - Foto fail AFP

Setakat Selasa lalu, Singapura dilaporkan mencatat sembilan kes cacar monyet manakala kerajaan Thailand sudah mengeluarkan amaran cacar monyet peringkat kebangsaan selepas negara itu mencatat dua kes.

Filipina turut mengesan kes pertama cacar monyet pada seseorang yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

India turut mengesahkan kes kematian pertama akibat cacar monyet di Asia semalam membabitkan seorang lelaki muda di negeri selatan Kerala, kematian keempat yang diketahui disebabkan jangkitan wabak yang sedang menular itu.

Dr Noor Hisham berkata, Malaysia juga memperkukuhkan pengesanan kes di pintu masuk antarabangsa (PMA) negara melalui kerjasama dengan pegawai Jabatan Imigresen (JIM) dan agensi berkepentingan di PMA.

"Maklumat berkaitan cacar monyet dipaparkan dan dihebahkan di PMA bagi meningkatkan kesedaran pengembara mengenai penyakit ini.

"Selain itu, ia juga bagi mengingatkan mereka agar memantau status kesihatan kendiri selama 21 hari sekiranya mempunyai risiko dijangkiti dan membuat rujukan kendiri sekiranya mengalami gejala cacar monyet," katanya.

Setakat ini, lebih 20,000 orang di 78 negara dijangkiti virus itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang sudah mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global.

Berita Harian X