Selasa, 2 Ogos 2022 | 12:24pm

Pelbagai inisiatif dilaksana MTC, MTIB atasi isu dihadapi industri

KUALA LUMPUR: Pelbagai inisiatif dan program dilaksanakan Majlis Kayu-Kayan (MTC) dan Lembaga Perindustrian Kayu (MTIB) bagi mengatasi isu peningkatan bahan mentah, tenaga buruh dan logistik yang dihadapi pihak industri.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata Platform Akaun Pelaburan (IAP) disediakan MTC bagi menangani dan meringankan beban industri membabitkan isu bahan mentah.

Menerusi IAP, katanya, pengimport diberi bantuan penanggungan sebahagian kos logistik mengimport bahan mentah kayu ke Malaysia dengan bantuan maksimum tahunan adalah di antara RM70,000 dan RM115,000 bagi setiap syarikat, tertakluk kepada terma dan syarat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, keseluruhan peruntukan bernilai RM11.6 juta, membabitkan 262 syarikat sudah menerima manfaat daripada IAP, antara 2020 hingga 30 Jun lalu.

"Kementerian melalui MTIB juga menyediakan pinjaman program sokongan bahan mentah bagi membantu industri memperoleh bahan mentah akan digunakan untuk pemprosesan produk siap.

"Jumlah pinjaman maksimum RM20,000 hingga RM1 juta mengikut nilai kos bahan mentah kayu disediakan dengan bayaran balik pinjaman selepas tiga hingga enam bulan," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (DAP-Bakri) mengenai langkah diambil kerajaan bagi mengatasi cabaran utama dihadapi industri perabot pasca COVID-19.

Mengenai isu logistik, Zuraida berkata, Program Bantuan Eksport (EAP) dilaksanakan dengan pengeksport produk kayu-kayan diberi bantuan kewangan bagi mengurangkan impak lonjakan kos pengangkutan laut sejak penularan COVID-19.

Beliau berkata, bantuan kewangan maksimum bernilai RM15,000 bagi setiap syarikat yang layak dengan jumlah peruntukan EAP bernilai RM2.21 juta, membabitkan 189 syarikat sudah menerima manfaat, sehingga 30 Jun lalu.

Selain itu, katanya, MTC terus menggalakkan industri perkayuan negara mengembangkan pasaran eksport melalui program penyertaan pameran perdagangan dan misi pemasaran serta perniagaan di dalam dan luar negara.

Pasaran seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah, Asia Barat, ASEAN dan Oceania menjadi tumpuan bagi meningkatkan kebolehan pasaran produk kayu-kayan negara.

"MTIB juga memberi subsidi bagi penyertaan syarikat perkayuan, terutama industri perabot dalam pameran tempatan dan antarabangsa seperti Malaysian International Furniture Fair (MIFF), Export Furniture Fair (EFE) dan banyak lagi.

"Program Promosi Penjenamaan dilaksana bagi membantu industri perkayuan, terutama sektor perabot dalam membina keupayaan dan kebolehpasaran produk dengan 10 syarikat perkayuan dibimbing bagi membangunkan jenama dan produk di platform media sosial.

"MTC juga aktif berkomunikasi dengan pengimport di pasaran eksport melalui pejabat serantau di China, Belanda, India, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi. Melalui perhubungan berterusan dengan pemain industri, MTC juga boleh menjana dan berkongsi maklumat risikan pasaran dengan ahli industri perkayuan," katanya.

Mengenai aspek pembinaan jenama tempatan, Zuraida berkata, MTC juga melaksanakan program bagi mempamer produk kayu dan perabot tempatan kepada pembeli dari luar negara dengan syarikat yang menyertai akan dibantu dari segi kewangan bagi membangun ruang pameran 3D.

"MTIB turut menyediakan program atau bantuan khusus bagi usahawan Bumiputera agar berdaya saing dalam eksport antarabangsa di antaranya adalah Program Credible Entrepreneur & Marketing Promotion Group (CEMP), bertujuan meningkatkan tahap prestasi eksport perkayuan usahawan.

"Melalui program ini, MTIB menyediakan khidmat nasihat dalam reka bentuk dan pembangunan produk, kajian pasaran dan mengadakan misi teknikal dan penyertaan usahawan dalam pameran produk di peringkat antarabangsa," katanya.

Mengulas isu buruh, Zuraida berkata, MTC dan MTIB membuka pejabat di Muar, Johor sejak Oktober 2021, bagi membantu pihak industri, terutama sektor perabot bagi mengatasi isu standard penginapan pekerja yang menjadi antara faktor mempengaruhi permohonan pekerja asing.

MTC juga sedang mempromosi program Financial Assistance for the Development of Workers' Accommodation bagi menggalakkan pihak industri menambah baik standard penginapan pekerja dengan bantuan kewangan sehingga RM10,000 disediakan bagi syarikat yang layak.

"Program Engineer Placement and Internship Programme (EPIP) juga sedang dilaksana MTC bagi menggalakkan pengambilan pekerja mahir dan jurutera di dalam kilang kayu di Malaysia.

"Selain itu, program On Job Training (OJT) bagi graduan diploma dan sijil vokasional oleh MTC juga bertujuan membantu mengatasi kekurangan pekerja," katanya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin
Berita Harian X