Isnin, 1 Ogos 2022 | 4:39pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

2.5 juta ayam diternak koperasi, jamin harga stabil di pasaran

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2.5 juta ayam sudah diternak menerusi pembabitan 21 koperasi berasaskan agromakanan dalam skim kontrak ternakan ayam.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya, berkata skim itu dilaksanakan dengan kerjasama syarikat integrator yang berperanan membekalkan anak ayam, dedak, makanan tambahan, ubatan dan pemeriksaan berkala tumbesaran ayam.

"Sebanyak 184 koperasi terbabit secara langsung dalam menjalankan aktiviti berkaitan agromakanan yang menyumbang kepada sekuriti makanan dengan menjana pusingan pendapatan keseluruhan sebanyak RM274,687,368.

"Koperasi berasaskan agromakanan menawarkan barangan berasaskan pertanian dan ternakan seperti ayam pedaging, ayam kampung, daging lembu dan ikan ternakan pada harga yang berpatutan melalui rangkaian kedai Coopmart, kedai runcit, pasar tani dan pasar raya," katanya menjawab soalan Datuk Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kementeriannya akan mengadakan 'contract farming' di antara federasi pertanian dan penternak ayam.

Sementara itu, menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), Muslimin berkata, kementeriannya menerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) juga sedang giat mengurus pembukaan ladang jagung bijirin seluas 4,000 hektar, dengan setiap hektar mampu mengeluarkan sekitar 4.4 hingga lima tan per hektar.

"Dalam tempoh lima tahun, kita menyasarkan untuk memastikan harga ayam nanti lebih stabil disebabkan input makanan (yang dikeluarkan) ini. Kita jangka mampu membekalkan 20 peratus (bekalan makanan) untuk kita 'supply' kepada penternak," katanya.

Pada Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan ANGKASA akan mengusahakan tanaman jagung bijirin skala besar dalam usaha mengurangkan kebergantungan bekalan makanan import khususnya kepada ternakan ayam.

NAFAS turut menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran 144 juta ekor ayam setahun, manakala 30 juta ekor lagi dikeluarkan oleh ANGKASA.

Berita Harian X