Isnin, 1 Ogos 2022 | 3:00pm
Angka kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam meningkat 2.8 peratus tempoh antara 24 Julai hingga Sabtu lalu. - Gambar fail
Angka kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam meningkat 2.8 peratus tempoh antara 24 Julai hingga Sabtu lalu. - Gambar fail

Kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital naik 2.8 peratus

KUALA LUMPUR: Angka kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam meningkat 2.8 peratus sepanjang minggu epidemiologi (ME) 30/2022 iaitu antara tempoh 24 Julai hingga Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dalam tempoh itu jumlah kes baharu menurun 5.2 peratus iaitu 28,339 kes, berbanding 29,886 kes sebelumnya.

Beliau berkata, peningkatan paling tinggi membabitkan kes import yang mendapat jangkitan luar negara iaitu 89.3 peratus atau daripada 28 kes kepada 53 kes, manakala penularan tempatan menurun 5.3 peratus (29,858 kes kepada 28,286 kes).

"Bagi peratusan pengisian katil untuk fasiliti COVID-19, penggunaan katil bukan kritikal kekal 23 peratus, diikuti Unit Rawatan Rapi (ICU) kekal 14 peratus serta di Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) kekal tujuh peratus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes positif yang dipantau melalui Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) mencatat peningkatan kedatangan pesakit sebanyak 3.2 peratus.

"Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun 0.5 peratus dan pesakit yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital pula menurun 19.9 peratus.

"Trend kes aktif yang dipantau (CAC) secara maya pada akhir ME 30/2022 pula turun 7.69 peratus berbanding pada akhir minggu lalu iaitu daripada 70,140 kes kepada 64,743 kes," katanya.

Mengulas kes sembuh di negara ini, Dr Noor Hisham berkata, ia turut meningkat 35.4 peratus iaitu daripada 22,757 kes kepada 30,823 kes.

"Bilangan kes kematian pada ME 30/2022 menunjukkan penurunan 28.6 peratus (63 kes kepada 49 kes) dan purata kes aktif setiap hari bagi ME 30/2022 adalah 47,176 iaitu terdapat peningkatan 3.6 peratus berbanding minggu sebelumnya," katanya.

Berhubung kes penyakit seperti influenza (ILI) membabitkan kes COVID-19, beliau berkata, hasil pemantauan di lokasi sentinel seluruh negara mendapati 107 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 14.5 peratus.

"Tiada sampel SARI (jangkitan pernafasan akut teruk) dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif kekal sifar peratus pada ME 30/2022," katanya.

Berita Harian X