Isnin, 1 Ogos 2022 | 11:23am

PBS diperkasa susulan pemansuhan UPSR, PT3

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) susulan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Pelaksanaan PBS bertujuan menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang diperkenal di peringkat sekolah rendah mulai 2011, manakala sekolah menengah pada 2012.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata pelaksanaannya membabitkan komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Mengenai konteks PBD, katanya, guru memantau perkembangan, kemajuan dan penguasaan murid dalam proses pembelajaran, termasuk kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Beliau berkata, melaluinya, guru boleh merancang dan mengubah suai kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi membantu setiap murid meningkatkan tahap penguasaan pembelajaran mereka.

Pelaksanaan PBD secara berterusan dapat mempersiapkan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai sebagai asas kukuh untuk mengikuti pembelajaran di peringkat seterusnya.

"Antara pendekatan dalam pengukuhan PBD bagi murid Tahun 4 hingga Tingkatan 3 adalah menambah baik pengurusan ujian akhir sesi akademik melalui penyediaan soalan setara standard oleh KPM, mulai 2022.

"Soalan ini disediakan guru berkepakaran dalam pembinaan item dan disimpan dalam sistem bank soalan dibangunkan KPM.

"Bagi tujuan pelaksanaan ujian akhir sesi akademik, pihak sekolah akan menjana set soalan daripada sistem berkenaan dan ditadbir di sekolah seperti ujian akhir tahun sebelum ini. Panduan penskoran juga akan disediakan untuk kemudahan guru," katanya.

Beliau menjawab soalan Natrah Ismail (PKR-Sekijang) mengenai impak jangka panjang pemansuhan UPSR, pada 2021 dan PT3, tahun ini, di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Radzi berkata, penambahbaikan ujian akhir sesi akademik bertujuan membolehkan guru dan ibu bapa bersama-sama membantu membangunkan potensi murid bermula daripada peringkat sekolah rendah.

Katanya, pelaporan ujian akhir sesi akademik itu akan digunakan bagi membolehkan intervensi awal dilakukan bagi mengoptimumkan potensi murid dan bukan untuk tujuan perbandingan pencapaian antara murid atau sekolah.

Beliau berkata, kejayaan dan kemenjadian murid haruslah dilihat secara holistik dan bukan semata-mata berdasarkan prestasi dalam bidang akademik sahaja.

Justeru, pentaksiran melalui PAJSK dan PPsi juga diperkukuh bagi menilai perkembangan murid dalam aspek sukan, kokurikulum, nilai murni, minat dan kecenderungan serta pembentukan sahsiah.

"KPM juga akan menambah baik kaedah pelaporan PBD. Melalui kaedah ini, pencapaian murid dilaporkan secara menyeluruh sebanyak dua kali setahun iaitu pada pertengahan dan akhir sesi akademik, menggunakan deskriptor tahap penguasaan komprehensif sert jelas.

"Pelaporan ini juga menilai tahap usaha murid dalam pembelajaran, selain guru kelas dan mata pelajaran akan memberi ulasan serta cadangan intervensi bagi mengoptimumkan potensi murid," katanya.

Beliau berkata, laporan akhir sesi akademik akan turut disertakan dengan pelaporan PAJSK dan PPsi, selain daripada pelaporan PBD.

Secara keseluruhan, katanya, penambahbaikan pelaporan PBS dapat memberi gambaran mengenai kemenjadian murid secara menyeluruh, komprehensif dan bermakna.

"Pemerkasaan PBS adalah antara pendekatan KPM untuk beralih daripada pembelajaran berorientasi peperiksaan kepada pembelajaran lebih menyeronokkan untuk murid, selain mempergiat program latihan pentadbir dan guru bagi meningkatkan kemahiran serta memantapkan pelaksanaan pentaksiran berterusan di sekolah.

"Guru juga akan terus dilatih untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran termasuk penggunaan teknologi digital.

"KPM yakin pentaksiran bersifat holistik dan berterusan melalui PBS adalah pendekatan terbaik bagi mengoptimumkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu," katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata, KPM sudah memperkenalkan sistem permohonan berpusat ke sekolah khusus iaitu Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK), mulai 2020.

PKSK adalah kaedah pentaksiran standard secara berpusat dan dilaksanakan kepada murid yang memohon kemasukan ke sekolah khusus iaitu sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah teknik, kolej vokasional, sekolah menengah kebangsaan agama dan Maktab Tentera Diraja.

Ia merangkumi tiga komponen utama iaitu kecerdasan insaniah, kecerdasan intelek dan artikulasi penulisan.

"Semua murid warganegara yang berdaftar dengan sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid, KPM dari sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama bantuan kerajaan atau sekolah swasta adalah layak memohon kemasukan ke sekolah khusus.

"Syarat pemilihan murid ke sekolah khusus adalah melepasi syarat minimum PKSK serta aktif dalam aktiviti kokurikulum.

"Selain itu, komponen PBD, PAJSK serta status sosial ekonomi (SES) turut digunakan dalam pemilihan murid ke sekolah khusus. PKSK juga akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa," katanya.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin
Berita Harian X