Sabtu, 30 Julai 2022 | 12:51pm

Banjir Baling: Laporan penuh dibentang di Parlimen 4 Ogos

KOTA BHARU: Hasil kajian berhubung tragedi banjir di Baling, Kedah yang mengorbankan tiga nyawa kini di peringkat akhir sebelum dibentangkan di Parlimen pada 4 Ogos nanti.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kajian berkenaan membabitkan beberapa kementerian dan kerajaan negeri.

"KeTSA mengetuai kajian berkenaan dibantu kementerian lain seperti Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta kerajaan negeri.

Keadaan berhampiran Jambatan Bailey yang dibina sementara untuk kegunaan penduduk di Lata Celak, Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad
Keadaan berhampiran Jambatan Bailey yang dibina sementara untuk kegunaan penduduk di Lata Celak, Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad

"Hasil daripada setiap laporan itu akan digabungkan sebelum dibentangkan di Parlimen 4 Ogos nanti. Sekarang ini kajian berkenaan sudah di peringkat akhir.

"Kajian berkenaan bagi mencari punca sebenar bencana selain cadangan untuk mengatasi masalah berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kota Bharu, di sini, hari ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada sidang media selepas hadir pada Majlis Mesyuarat Agung Tahunan PAS Parlimen Kota Bharu di sini, hari ini. - NSTP/NIk Abdullah Nik Omar

Sementara itu ketika ditanya desakan penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu projek Musang King dihentikan, Takiyuddin berkata, ia bergantung kepada kerajaan negeri.

"Apa sahaja urusan dengan pengusaha Musang King adalah urusan kerajaan negeri, bukannya Kerajaan Pusat.

"Sekarang ini, sebanyak 5,000 pokok sudah ditanam dalam kawasan seluas 52 hektar. Jadi, kalau kita tebang, ianya akan terdedah dan jika mahu tunggu tanam pokok lain, akan mengambil masa.

"Saya difahamkan, kerajaan Kedah mahu teruskan bagi kawasan yang sudah ditanam dan kawasan yang belum, akan ditanam dengan pokok lain," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, banjir di Baling pada 4 Julai lalu menjejaskan 41 kawasan dan mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil berusia 23 tahun.

Jambatan Bailey yang dibina sementara untuk kegunaan penduduk ditutup sementara di Lata Celak, Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad
Jambatan Bailey yang dibina sementara untuk kegunaan penduduk ditutup sementara di Lata Celak, Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad

Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah tekun membaiki jalan raya yang rosak di Baling, semalam. - Foto BERNAMA
Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah tekun membaiki jalan raya yang rosak di Baling, semalam. - Foto BERNAMA

Abdullah Ahmad, 65, di rumah pusaka yang dibanjiri lumpur selepas banjir di Kampung Iboi, Baling. - NSTP/Danial Saad
Abdullah Ahmad, 65, di rumah pusaka yang dibanjiri lumpur selepas banjir di Kampung Iboi, Baling. - NSTP/Danial Saad
Berita Harian X