X
Jumaat, 29 Julai 2022 | 4:36pm
Tangkap layar video tular memaparkan kereta bernombor pendaftaran Singapura mengisi petrol RON95, awal pagi tadi. - Foto Tular Facebook
Tangkap layar video tular memaparkan kereta bernombor pendaftaran Singapura mengisi petrol RON95, awal pagi tadi. - Foto Tular Facebook

KPDNHEP siasat video kereta Singapura isi minyak RON95

JOHOR BAHRU: Sebuah kereta bernombor pendaftaran Singapura dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebuah stesen minyak di sini, hari ini ketika dipercayai mengisi petrol RON95.

Video berdurasi kira-kira seminit 10 saat itu memaparkan seorang lelaki berbaju putih yang ingin mengisi minyak kenderaannya dan kemudian secara jelas mengangkat nozel berwarna kuning iaitu minyak petrol RON95.

Lelaki itu kemudian dilihat meletakkan semula nozel berwarna kuning berkenaan selepas tindakannya itu dipercayai disedari petugas stesen minyak terbabit.

Dia kemudian dilihat terus beredar menaiki keretanya. Berdasarkan hantaran itu, kejadian dipercayai berlaku jam 6.55 pagi tadi dekat Taman Century di sini.

Petugas stesen minyak mendakwa lelaki itu tidak mengendahkan arahan yang memintanya menunggu, sebaliknya lelaki Singapura itu dikatakan sempat mengisi 13 liter petrol RON95 beredar tanpa membayar.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat video yang dimuat naik ke media sosial berkenaan.

"Pada masa ini, pihak kami akan siasat mengenai 'posting' (hantaran) tersebut. Terima kasih," jawabnya ringkas.

Beliau juga meminta orang awam sentiasa menyalurkan maklumat atau aduan kepada pihak KPDNHEP mengenai sebarang salah laku yang berkaitan.

Aduan boleh disalurkan antaranya menerusi emel ke e-aduan@kpdnhep.gov.my, talian aduan WhatsApp019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya tidak ada menerima sebarang laporan dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kejadian itu.

Umum mengetahui penjualan petrol RON95 adalah dilarang bagi kenderaan nombor pendaftaran asing.

Pemilik stesen minyak yang didapati gagal memantau penyalahgunaan petrol RON95 boleh disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Berita Harian X