Khamis, 28 Julai 2022 | 7:05pm
Azali Abu dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas menerima hukuman keseluruhan penjara 64 tahun dan lapan sebatan - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Azali Abu dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas menerima hukuman keseluruhan penjara 64 tahun dan lapan sebatan - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad

Dipenjara 64 tahun, 8 sebatan kerana rogol, amang seksual gadis bawah usia

MELAKA: Seorang bekas juruteknik dipenjara keseluruhan 64 tahun dan lapan sebatan atas tuduhan masing-masing empat tuduhan merogol dan amang seksual terhadap pelajar Tingkatan 1 yang dilarikan dari sebuah sekolah di Klang, Selangor ke negeri ini, bulan lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas mensabitkan tertuduh, Azali Abu, 40, yang menukar pengakuan kepada bersalah terhadap semua pertuduhan pada sebutan kes di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Bagi semua pertuduhan dia didakwa masing-masing atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 376(2) (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 iaitu merogol dan melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa berusia 13 tahun di bilik tidak bernombor di Pangsapuri Bachang Permai, Bachang, dekat sini.

Untuk rekod, Azali ketika ini sedang menjalani hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan atas kesalahan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa sama.

Tertuduh dari FELDA Jelai 2, Gemas, Negeri Sembilan didakwa melakukan kesalahan itu pada 16 dan 17 Jun lalu, antara jam 3 pagi hingga 10 malam.

Bagi kesalahan merogol dan amang seksual fizikal tertuduh boleh dipenjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan serta penjara 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan jika disabitkan.

Dalam penghakimannya Mohd Sabri menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan serta penjara enam tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan rogol dan amang seksual.

Hukuman bagi kesalahan rogol berjalan berasingan bagi setiap pertuduhan, namun serentak bagi amang seksual dari tarikh tertuduh ditangkap pada 25 Jun lalu.

Terdahulu, Azali yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu merayu hukuman ringan dan dilaksanakan serentak bagi semua pertuduhan.

"Yang Arif, mohon hukuman seringannya bagi semua pertuduhan dan berjalan serentak kerana saya sudah insaf dan memohon ampun dan bertaubat kepada Allah SWT.

"Saya mempunyai isteri dan dua anak kecil serta ibu bapa yang sakit. Sebelum ini saya bekerja cari nafkah untuk mereka, pohon hukuman ringan serentak dari tarikh tangkap," katanya dalam nada sebak.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim yang menjalankan pendakwaan berhujah supaya hukuman berbentuk pengajaran dikenakan agar tertuduh tidak mengulangi dan memberi ingatan kepada masyarakat bahawa kesalahan itu amat serius.

Fakta kes katanya, diakui sendiri oleh tertuduh bahawa dia melarikan kanak-kanak berusia 13 tahun dari sebuah sekolah ke sebuah bilik di negeri ini.

"Di tempat itulah tertuduh melakukan sembilan kesalahan yang dituduh di mahkamah ini terhadap mangsa.

"Tertuduh sepatutnya membimbing dan menunjukkan jalan yang benar dan bukan memperlakukan sedemikian terhadap mangsa yang tidak mengerti apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan," katanya.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa yang berusia 30 tahun membuat laporan polis pada 16 Jun lalu selepas dihubungi pemandu van sekolah pada hari sama kira-kira 6.50 petang memaklumkan anaknya tiada di sekolah.

Pengadu kemudian menghubungi rakan anaknya dan dimaklumkan mangsa hadir ke sekolah, namun mengikut seorang lelaki menaiki sebuah kereta berwarna putih selepas tamat sesi persekolahan.

Dua hari kemudian anak pengadu pulang ke rumah dan memberitahu dia dirogol empat kali oleh tertuduh iaitu pada 16 Jun, kira-kira 10 malam dan antara jam 3 pagi hingga 10 malam, keesokannya di pangsapuri berkenaan.

Anak pengadu juga memberitahu pada setiap kejadian rogol, tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadapnya.

Berita Harian X