Khamis, 28 Julai 2022 | 7:02pm
Pengerusi KPTM, Datuk Ismail Lasim
Pengerusi KPTM, Datuk Ismail Lasim

Semua pelajar KPTM berjaya tamatkan pengajian ketika pandemik

IPOH: Tiada pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) gagal menamatkan pengajian ketika tempoh pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu.

Pengerusi KPTM, Datuk Ismail Lasim, berkata semua graduan sama ada pada peringkat ijazah, diploma dan sijil berjaya menamatkan pengajian masing-masing dalam pelbagai program ditawarkan kolej berkenaan.

Beliau berkata, sehingga kini pihak pengurusan tidak memaklumkan sekiranya ada pelajar menamatkan pengajian disebabkan masalah kewangan atau menghadapi tekanan kerana perlu belajar secara dalam talian ketika tempoh pandemik.

"Ini kerana setiap pelajar di KPTM mendapat pinjaman MARA dan jika mereka mempunyai masalah belajar secara dalam talian, kita ada sediakan pembelajaran secara 'one-to-one' antara pelajar dengan pensyarah.

"Hal ini melainkan mereka menarik diri atas sebab lain seperti mahu menyambung pengajian di tempat lain," katanya selepas Majlis Apresiasi Siswa KPTM bagi sesi Julai dan November 2021 membabitkan 247 pelajar di sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan 30,904 pelajar daripada lebih 1.1 juta mahasiswa di universiti awam (UA) gagal menamatkan pengajian ketika pandemik COVID-19 atas beberapa faktor, pada 2020 dan 2021.

KPT memaklumkan Sistem Peningkatan Kualiti Data (MyMoheS) merekodkan sejumlah 13,291 atau 2.27 peratus pelajar di UA tidak menamatkan pengajian pada 2020 dan 17,613 pelajar daripada keseluruhan 589,879 pelajar sedia ada, direkodkan sebagai tidak menamatkan pengajian di UA.– BERNAMA

Berita Harian X