Rabu, 27 Julai 2022 | 11:15am
Gambar hiasan. Mahasiswa universiti awam membaca lafaz ikrar aku janji pelajar baharu. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. Mahasiswa universiti awam membaca lafaz ikrar aku janji pelajar baharu. - Foto fail NSTP

Lebih 30,000 mahasiswa gagal tamatkan pengajian

KUALA LUMPUR: Lebih 30,000 atau 2.6 peratus daripada lebih 1.1 juta mahasiswa di universiti awam (UA) gagal menamatkan pengajian ketika pandemik COVID-19, pada 2020 dan 2021.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan, Sistem MyMoheS merekodkan sejumlah 13,291 atau 2.27 peratus pelajar di UA tidak menamatkan pengajian pada 2020.

Pada 2021, katanya, seramai 17,613 pelajar atau 2.99 peratus daripada keseluruhan 589,879 pelajar sedia ada, direkodkan sebagai tidak menamatkan pengajian di UA.

Ia menjadikan sejumlah 30,904 pelajar UA tidak menamatkan pengajian sepanjang dua tahun berkenaan atas beberapa faktor.

"Data rasmi bagi tahun ini hanya akan diterbitkan secara rasmi pada awal tahun depan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini

Kenyataan itu adalah bagi menjawab soalan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar), mengenai jumlah mahasiswa di UA yang berhenti atau ditamatkan pengajian, di antara Mac 2020 hingga Mac tahun ini dan sebab mereka berhenti atau ditamatkan pengajian.

Mengulas lanjut, KPT memaklumkan, antara faktor utama kegagalan mahasiswa menamatkan pengajian adalah masalah kesihatan, isu peribadi, gagal peperiksaan dan gagal mendaftar.

Menurutnya, KPT dan UA prihatin dan sentiasa berusaha membantu pelajar terbabit menerusi beberapa inisiatif, antaranya menyediakan kemudahan biasiswa dan bantuan kewangan kepada golongan sasar yang layak, termasuk pelajar golongan B40.

"KPT menerusi UA juga menyediakan program intervensi akademik seperti sistem penasihat akademik (PA) dan program intervensi bukan akademik seperti perkhidmatan kaunseling individu dan berkelompok serta 'buddy system'.

"Selain itu, program motivasi, program mentor mentee, Program Khas Akademik dan pelbagai program lagi dari masa ke semasa bagi membantu pelajar di UA meneruskan pengajian," katanya.

Berita Harian X