X
Selasa, 26 Julai 2022 | 12:20pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

KeTSA lancar RFZPPN-2 pulihara ekosistem hutan paya laut

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melancarkan Rancangan Fizikal Zon Pesisiran Pantai Negara-2 (RFZPPN-2) sebagai usaha memelihara dan memulihara ekosistem hutan paya laut, termasuk kawasan pesisir pantai negara, pada 14 Jun lalu.

RFZPPN-2 menggariskan panduan, tindakan perancangan strategik dan hala tuju penggunaan, pemuliharaan dan pengurusan sumber jaya pesisiran pantai di Semenanjung dan Labuan bagi memastikan kelangsungan peranan dan sumbangannya kepada alam sekitar dan masyarakat sejagat.

Ia turut mengambil kira keperluan dan kepentingan memelihara serta memulihara kawasan mempunyai biodiversiti tinggi seperti hutan paya dan dataran rumput laut di sepanjang pesisiran pantai negara dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ini kerana pembangunan kawasan pesisir pantai, akuakultur, pertanian dan pencemaran tidak terkawal adalah antara punca kehilangan kawasan hutan paya laut.

Beliau berkata, kehilangan kawasan berkenaan bukan hanya memberi kesan langsung kepada kesejahteraan hidup masyarakat setempat, tetapi turut menyebabkan ketiadaan sumber penyerap karbon paling efisien.

"Inisiatif memelihara dan memulihara kawasan hutan paya laut bagaimanapun sudah dilaksanakan lebih awal melalui Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies Sesuai di Pesisiran Pantai Negara, sejak 2005, iaitu selepas tragedi tsunami melanda negara, pada 26 Disember 2004.

"Ia dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.

"(Kawasan) seluas 3,240.44 hektar ditanam di seluruh negara dengan pokok bakau dan spesies hutan pesisir pantai terpilih membabitkan penanaman 7,129,438 pokok, sehingga 30 Jun lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa yang disambut pada 26 Julai setiap tahun.

Beliau berkata, Malaysia ketika ini mempunyai kawasan hutan paya laut seluas 629,038 hektar, iaitu 3.44 peratus daripada keluasan kawasan berhutan di seluruh negara.

Berdasarkan Mangrove Guidebook Southeast Asia, Malaysia mempunyai kepelbagaian spesies flora bakau yang tinggi apabila mencatatkan sebanyak 42 berbanding 52 spesies pokok bakau terdapat di Asia Tenggara yang ditemui dalam kelas dirian terkecil di negara ini.

"Hutan paya laut adalah ekosistem tropika amat unik, menghubungkan tanah daratan dan hidupan di atasnya dengan lautan, selain berpotensi tinggi untuk dijadikan sebagai destinasi pelancongan, jika diuruskan dengan baik.

"Ia memainkan peranan besar sebagai zon penampan bagi melindungi kawasan pesisir pantai daripada hakisan tanah, impak pukulan ombak kuat dan angin kencang serta menyediakan ekosistem sesuai bagi pembiakan hidupan marin yang menjadi punca pendapatan masyarakat tempatan," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, peranan ekosistem hutan paya laut, rumput laut dan terumbu karang bertambah penting ketika ini, di mana ketiga-tiga ekosistem berkenaan dikenal pasti sebagai penyerap karbon amat efisien di peringkat dunia.

Berdasarkan maklumat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), satu hektar kawasan hutan paya laut dianggar mampu menyimpan 3,754 tan metrik karbon, bersamaan jumlah karbon dilepaskan 2,650 kereta selama satu tahun.

"Sebaliknya, jika ekosistem ini dimusnahkan, menjadi terosot atau hilang, ia pula akan menjadi sumber pelepasan karbon dioksida.

"Pakar menganggarkan pelepasan karbon daripada penyahhutanan hutan paya laut atau penebangan hutan di seluruh dunia menyumbang sehingga 10 peratus daripada pelepasan karbon, walaupun hutan paya laut hanya meliputi 0.7 peratus daripada keluasan tanah dunia," katanya.

Berita Harian X