Selasa, 26 Julai 2022 | 11:34am

Kawasan sekitar Gunung Inas belum stabil

KUALA LUMPUR: Kawasan persekitaran Gunung Inas di Baling, Kedah, yang menjadi lokasi bencana kepala air awal bulan ini, dikesan belum stabil dan masih terdedah pada ancaman tanah runtuh.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata dapatan itu adalah hasil siasatan awal Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) selepas membuat pemeriksaan tapak kejadian 5 Julai lalu.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan. - Foto Bernama
Datuk Seri Takiyuddin Hassan. - Foto Bernama

Selain risiko tanah runtuh, katanya, kawasan persekitaran Gunung Inas juga masih terdedah kepada ancaman jatuhan batuan kerana ada bongkah batuan yang longgar dan tergantung di lereng gunung.

"Perubahan arus deras secara mendadak bila berlaku hujan di kawasan hulu dan kehadiran taburan puing batuan di laluan sungai boleh mendatangkan risiko serta membahayakan keselamatan awam di kawasan itu.

"Sebagai langkah awal, satu surat makluman rasmi perihal Langkah Kewaspadaan Awam Di Kawasan Tadahan Gunung Inas, Baling, Kedah dihantar pada 22 Julai lalu, menyarankan kerajaan Kedah mengambil perhatian terhadap zon bahaya dan zon kawalan yang dibangunkan JMG bagi tujuan pengurusan bencana di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

"Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui JMG turut menasihatkan kawasan pergunungan zon sumber aliran puing itu juga tidak dibuka kepada awam sehingga keadaan selamat," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang bertanyakan kaedah penyelesaian dirancang keTSA bagi memastikan keselamatan penduduk di sekitar Gunung Inas susulan bencana kepala air di kawasan itu.

Keadaan di sekitar Gunung Inas yang rosak teruk akibat kejadian kepala air di Kampung Iboi, Kupang, awal bulan ini. - NSTP/M HIFZUDDIN IKHSAN
Keadaan di sekitar Gunung Inas yang rosak teruk akibat kejadian kepala air di Kampung Iboi, Kupang, awal bulan ini. - NSTP/M HIFZUDDIN IKHSAN

Berhubung projek ladang hutan di Gunung Inas, Takiyuddin memaklumkan siasatan dalam Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mendapati, projek durian hibrid atau Musang King melanggar kelulusan yang diberikan untuk projek ladang hutan itu.

Katanya, ia berikutan hanya 11 spesies tanaman diluluskan, tidak termasuk durian Musang King.

"Pada 10 Disember 2019, kerajaan Kedah pada masa itu meluluskan penanaman durian Musang King atas 20 peratus keluasan ladang hutan yang dibenarkan.

"Jabatan Perhutanan Negeri Kedah melihat itu sebagai pelanggaran syarat. Sebanyak 5,000 pokok ditanam di kawasan seluas 52 hektar di Gunung Inas.

Sebahagian daripada tiga kolam takungan di kawasan puncak Gunung Inas yang dikatakan antara punca banjir kilat menjejaskan beberapa kampung di Kupang, Baling, baru-baru ini. Foto dan video ini didedahkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Dewan Rakyat hari ini. - Foto ihsan Ahli Parlimen Baling

"Pada 2020, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah melalui Menteri Besar sekarang, mengarahkan pemberhentian segera aktiviti penanaman pokok durian, dan mencadangkan Gunung Inas dijadikan hutan perlindungan bagi tujuan kawasan hutan tadahan air supaya ia tidak boleh diusik dan memberi jaminan keselamatan kepada penduduk Baling," katanya.

Kepada soalan tambahan Abdul Azeez mengenai kewujudan tiga kolam takungan sebesar padang bola dipenuhi air di puncak Gunung Inas serta pampasan kepada penduduk yang terkesan, Takiyuddin memaklumkan kajian KeTSA belum dapat mengesahkan kolam terbabit sebagai punca insiden kepala air baru-baru ini.

"Secara jujurnya, kajian belum dapat mengesahkan kewujudan kolam takungan di atas Gunung Inas sebagai punca kejadian kerana kolam itu belum pecah, sedangkan kejadian sudah berlaku.

Sebahagian daripada tiga kolam takungan di kawasan puncak Gunung Inas yang dikatakan antara punca banjir kilat menjejaskan beberapa kampung di Kupang, Baling, baru-baru ini. Foto dan video ini didedahkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Dewan Rakyat hari ini. - Foto ihsan Ahli Parlimen Baling
Sebahagian daripada tiga kolam takungan di kawasan puncak Gunung Inas yang dikatakan antara punca banjir kilat menjejaskan beberapa kampung di Kupang, Baling, baru-baru ini. Foto dan video ini didedahkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Dewan Rakyat hari ini. - Foto ihsan Ahli Parlimen Baling

"Bagaimanapun, kementerian mengambil maklum pada cadangan untuk mengeluarkan air daripada kolam ini, tetapi pelaksanaannya bergantung pada kerajaan Kedah.

"Pampasan daripada syarikat yang mendapat konsesi balak juga tertakluk pada kerajaan Kedah untuk menggunakan budi bicara menguatkuasakan pampasan," katanya.

Kesan aliran air deras dan puing dari Gunung Inas dalam kejadian pada 4 Julai lalu.

Kolam takungan di ladang durian Musang King di Gunung Inas, yang dirakamkan oleh seorang penduduk kampung pada penghujung 2021. - Foto fail NSTP
Kolam takungan di ladang durian Musang King di Gunung Inas, yang dirakamkan oleh seorang penduduk kampung pada penghujung 2021. - Foto fail NSTP
Berita Harian X