Selasa, 26 Julai 2022 | 9:54am
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad. - Foto fail NSTP
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad. - Foto fail NSTP

Rayuan elaun KAFA: Saya sendiri jumpa Tengku Zafrul

BUKIT GANTANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata beliau sendiri telah berbincang dengan Menteri Kewangan berhubung rayuan penangguhan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Idris berkata beliau telah bertemu dengan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi memaklumkan hasrat dan rayuan itu untuk pertimbangan selanjutnya.

"Kita buat rayuan kepada Kementerian Kewangan. Insya-Allah kita cuba atasi kerana semua itu kena ikut peraturan. Bukan kita tidak mahu jaga guru KAFA," katanya pada program Jualan Bergerak Bantu Rakyat di Surau Ahmadi, Sungai Petai semalam.

Kelmarin, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilapor mengesahkan keputusan menangguhkan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh selama 60 hari kepada guru KAFA seperti yang diumumkan pada Januari lalu, sebagai mematuhi saranan Kementerian Kewangan.

Idris berkata rayuan kepada MOF itu juga sebagai langkah membela nasib guru KAFA dan membantu kumpulan tersebut dalam apa juga cara.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu sensitif berkaitan penghinaan terhadap agama Islam dan pihaknya mendapat kerjasama baik daripada polis untuk menangkap mereka yang terbabit.

"Dakwaan bahawa kerajaan tidak bertindak tegas hanya bertujuan memanipulasi isu dan mengeruhkan keadaan kerana undang-undang yang sedia ada cukup untuk bertindak," katanya dan menambah beberapa individu yang terbabit telah dikenakan tindakan undang-undang.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya membantu kerajaan dengan melaporkan kes-kes penghinaan terhadap agama Islam yang mungkin terlepas pandang oleh pihak berkuasa. – BERNAMA

Berita Harian X