Ahad, 24 Julai 2022 | 11:26am
Antara peserta yang menyertai Program 'Fun Ride' sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Dataran Rehal Al-Quran, Kota Bharu hari ini. - Foto BERNAMA
Antara peserta yang menyertai Program 'Fun Ride' sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Dataran Rehal Al-Quran, Kota Bharu hari ini. - Foto BERNAMA

Terkejut miliki wang tidak dituntut RM12,000

KOTA BHARU: Seorang pengunjung terkejut dimaklumkan memiliki wang yang tidak dituntut berjumlah RM12,000 hasil pemeriksaannya di kaunter Wang Tak Dituntut (WTD) yang disediakan sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

Menurut Ketua Unit WTD Jabatan Akauntan Negara Kelantan, Nur Anis Sahibudin, senario itu antara 'kisah' menarik sepanjang dua hari kaunter berkenaan beroperasi sejak Jumaat.

"Setakat semalam, sudah 1,273 orang datang membuat pemeriksaan di kaunter ini. Rata-rata kelihatan terkejut kerana tidak tahu memiliki wang yang tidak dituntut.

"Kaunter pemeriksaan yang disediakan ini secara tidak langsung peluang serta kesedaran selain memudahkan pengunjung membuat pemeriksaan sekiranya mereka ada wang yang tidak dituntut, hanya beri kad pengenalan petugas akan membantu membuat pemeriksaan," katanya kepada Bernama, hari ini.

Sebahagian pengunjung yang hadir sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Sebahagian pengunjung yang hadir sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Nur Anis berkata selain di kaunter, orang ramai juga boleh membuat semakan WTD menerusi portal eGUMIS.

Seorang pengunjung Mohamad Amsyari Mohamad Suhaimi, 40, berkata beliau mengetahui mengenai wang yang tidak dituntut namun tiada masa untuk membuat pemeriksaan.

"Saya periksa tadi ada wang tidak dituntut di dalam sebuah bank berjumlah lebih RM500, mungkin baki tu dari sewaktu zaman belajar dulu... lama sangat memang tak ingat langsung.

"Baguslah ada perkhidmatan sebegini di program Jelajah AKM Kelantan," katanya.

Jelajah AKM Kelantan yang bermula Jumaat akan berakhir hari ini. – BERNAMA

Berita Harian X