Sabtu, 23 Julai 2022 | 6:44pm
Annuar (kiri) menyampaikan hadiah kepada pengunjung ketika mengadakan lawatan ke Karnival Digital Kementerian Komunikasi dan Multimedia sempena Jelajah AKM Peringkat Kelantan 2022 di Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini. NSTP/ HAZIRA AHMAD ZAIDI
Annuar (kiri) menyampaikan hadiah kepada pengunjung ketika mengadakan lawatan ke Karnival Digital Kementerian Komunikasi dan Multimedia sempena Jelajah AKM Peringkat Kelantan 2022 di Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini. NSTP/ HAZIRA AHMAD ZAIDI

Jelajah AKM Kelantan tingkat penggunaan digital rakyat

KOTA BHARU: Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Peringkat Negeri Kelantan 2022 yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu sehingga esok berjaya membantu rakyat Kelantan meningkatkan ekonomi mereka menerusi penggunaan digital.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata program itu memberi impak positif dan berharap terdapat gelombang kesedaran rakyat untuk menyertai program ekonomi digital selepas AKM berakhir.

"Di Kelantan terdapat ramai peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) yang mempunyai semangat budaya keusahawanan," katanya selepas mengadakan lawatan ke Karnival Digital Kementerian Komunikasi dan Multimedia sempena Jelajah AKM Peringkat Negeri Kelantan 2022 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.

Sementara itu, Annuar berkata, dalam siri jelajah AKM yang diadakan, Kelantan mencatat kehadiran pengunjung paling tinggi dan dalam tempoh dua hari, seramai 36,000 pengunjung hadir.

"Pada siri jelajah diadakan di Kelantan, ia berbeza berbanding jelajah sebelum ini kerana terdapat banyak kepelbagaian program yang sudah diadakan dan ini memberi peluang penduduk di negeri ini," katanya.

Berita Harian X