Sabtu, 23 Julai 2022 | 6:34pm

Rogol remaja 14 tahun: Penceramah bebas diserah kepada polis KL

SHAH ALAM: Seorang penceramah bebas yang disyaki merogol seorang remaja perempuan berumur 14 tahun akan diserahkan kepada Polis Kuala Lumpur hari ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, berkata ia bagi membuat siasatan lanjut berhubung kejadian rogol yang dilaporkan turut berlaku di negeri itu.

"Hari ini reman tamat di Kuala Selangor dan reman lima hari itu tidak dilanjutkan. Suspek akan diserah ke kontingen Kuala Lumpur untuk siasatan bagi kes di sana," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, beliau berkata berdasarkan siasatan awal, perkenalan antara suspek dan remaja bawah umur itu dipercayai bermula apabila mangsa menghubungi lelaki terbabit di media sosial bagi bertanyakan masalah agama sebelum hubungan terjalin sejak Mei tahun lalu.

Menurutnya lagi, berdasarkan laporan polis yang diterima membabitkan kes itu masih kekal empat iaitu dua di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak.

Pada 19 Julai lalu, penceramah bebas itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 4.50 petang dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – BERNAMA

Berita Harian X