Sabtu, 23 Julai 2022 | 2:52pm
Sebahagian daripada Arca Dasar Laut yang dilabuhkan di perairan Pulau Pasir, Langkawi. - Foto ihsan Balai Seni Negara
Sebahagian daripada Arca Dasar Laut yang dilabuhkan di perairan Pulau Pasir, Langkawi. - Foto ihsan Balai Seni Negara
Nancy menunjukkan sebahagian daripada Arca Dasar Laut yang dilabuhkan, ketika menyelam di perairan Pulau Pasir, Langkawi. - Foto ihsan Balai Seni Negara
Nancy menunjukkan sebahagian daripada Arca Dasar Laut yang dilabuhkan, ketika menyelam di perairan Pulau Pasir, Langkawi. - Foto ihsan Balai Seni Negara
Nancy menandatangani plak sebagai gimik perasmian Program Pelancongan Berasaskan Komuniti Arca Dasar Laut di Pangkalan Kubang Badak, Langkawi, hari ini. - NSTP/HAMZAH OSMAN
Nancy menandatangani plak sebagai gimik perasmian Program Pelancongan Berasaskan Komuniti Arca Dasar Laut di Pangkalan Kubang Badak, Langkawi, hari ini. - NSTP/HAMZAH OSMAN

Dasar laut Langkawi dihuni arca mitos, legenda

LANGKAWI: Pelbagai arca berkonsepkan mitos serta legenda yang dilabuhkan ke dasar laut di perairan Pulau Pasir, di sini, kini muncul sebagai produk pelancongan baharu di pulau peranginan ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata sebanyak 14 Arca Dasar Laut (ADL) yang dihasilkan sembilan seniman tempatan, telah dilabuhkan di sekitar pulau itu pada 2 Jun lalu.

"Ia sebahagian daripada Pelancongan Berasaskan Komuniti (PBK) yang dianjurkan Balai Seni Negara dalam usaha memperkasakan ekosistem seni dan pelancongan negara.

"Malah, ADL ini turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai arca dalam air yang terbanyak," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program PBK ADL di Pangkalan Kubang Badak, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Saraya Arbi, serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, ADL juga menjadi elemen baharu dalam penciptaan bahan dengan cerita mitos serta legenda, hasil kreativiti seniman tempatan.

"Selain itu, kita yakin ia (ADL) turut menjadi perumah baharu kepada ekologi marin, seterusnya mewujudkan jaringan kelestarian kepada pelbagai hidupan marin," katanya.

Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira satu jam setengah menyelam di perairan Pulau Pasir bagi meninjau dan menikmati keunikan 14 ADL yang dilabuhkan di kawasan itu.

Pada majlis sama, Nancy turut menyampaikan sijil penghargaan kepada sembilan seniman yang menghasilkan arca berkenaan.

Mereka ialah Tengku Sabri Tengku Ibrahim, Abdul Multhalib Musa, Ahmad Fuad Osman, Dr Zainuddin Abindinhazir@Abdul Rashid, Low Chee Peng, Maxine Xie Xian Xin, Mohd Al Khuzairie Ali, Mohd Radzi Ismail dan Umibaizurah Mahir@Ismail.

Berita Harian X