Jumaat, 22 Julai 2022 | 4:36pm
Foto hiasan. - AFP
Foto hiasan. - AFP

KKM lancar garis panduan pengurusan menopaus

PETALING JAYA: Garis panduan amalan klinikal (CPG) bagi pengurusan menopaus, bakal memberi kemudahan dan pemahaman kepada golongan wanita yang memasuki fasa baharu dalam kehidupan mereka.

CPG bagi mengurus menopaus kalangan wanita itu dilancarkan hari ini, hasil inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) bersama lebih 50 doktor pakar Obsterik dan Ginekologi.

Pengerusi Jawatankuasa CPG, Dr Premitha Damodaran, berkata menopaus dalam kalangan wanita bukan isu biasa yang boleh dibincangkan secara terbuka, berikutan stigma dan impak negatifnya.

Dr Premitha Damodaran.
Dr Premitha Damodaran.

Beliau berkata, setiap wanita yang mengalami menopaus tidak seharusnya berasa malu atau keberatan untuk mendapatkan bantuan daripada kakitangan profesional.

"Dengan purata usia menopaus dalam negara sekitar 50 tahun, kami melihat golongan wanita akan menghabiskan satu pertiga daripada kehidupan mereka tanpa hormon estrogen, sekali gus mengurangkan tahap kesuburan.

"Kebimbangan ini tidak hanya berkaitan masalah kesuburan, bahkan mereka berisiko mengalami pelbagai masalah kesihatan dari segi fizikal, sosial, psikologi, seksual dan mental.

"Wanita yang mengalami menopaus lazimnya berisiko tinggi mengalami penyakit jantung koronari, osteoporosis, kanser dan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol tinggi. Ini akan memberi cabaran kepada mereka menjalani kehidupan mendatang," katanya selepas pelancaran CPG itu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Premitha yang juga Pakar Perunding Obsterik dan Ginekologi, berkata CPG itu merangkumi pelbagai maklumat tentang gejala menopaus, penilaian dan pemeriksaan klinikal, pilihan rawatan dan kesannya serta perspektif agama tentang menopaus.

"CPG ini boleh didapati menerusi pelbagai platform termasuk Kementerian Kesihatan, Akademi Perubatan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia dan Persatuan Menopaus Malaysia.

"Buat masa sekarang CPG ini hanya untuk rujukan pegawai perubatan dan selepas ini akan diperluas kepada orang ramai dalam masa terdekat menerusi risalah berinformasi dan penggunaan bahasa mudah difahami.

"Dalam tempoh dua atau tiga minggu selepas pelancaran ini, CPG itu akan dimuat naik dalam laman web Akademi Perubatan Malaysia," katanya.

Sementara dalam ucapan menerusi sidang video, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata beliau berbangga dengan usaha yang diambil untuk mewujudkan garis panduan amalan klinikal bagi pengurusan menopaus di Malaysia.

"Ia sememangnya satu pencapaian bersejarah dalam lanskap kesihatan Malaysia. Sebagai salah satu perintis dalam pengurusan garis panduan menopaus di Asia Tenggara, Malaysia membuktikan komitmennya untuk meningkatkan sistem penjagaan kesihatan," katanya.

Beliau berkata, KKM berhasrat untuk menyokong inisiatif dengan memacu usaha meningkatkan kesedaran mengenai menopaus.

"Menopaus bukan satu isu jelek atau bahan jenaka, sebaliknya kita menggalakkan dan memperkasa orang ramai di negara ini untuk bercakap mengenai perkara ini dengan lebih terbuka dan terhormat kerana kita faham wanita akan terus memainkan peranan utama masyarakat tanpa mengira usia.

"Oleh itu kita mesti memberi sokongan yang mereka perlukan sebagai sebahagian daripada inisiatif Keluarga Malaysia untuk mewujudkan Malaysia yang lebih berkepelbagaian dan keterangkuman," katanya.

Berita Harian X