Khamis, 21 Julai 2022 | 7:38pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. - NSTP/AMIRUDIN SAHIB
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. - NSTP/AMIRUDIN SAHIB

Sanggup hina agama sendiri akibat tekanan mental

KUALA LUMPUR: Tekanan mental dipercayai antara faktor utama menyebabkan segelintir umat Islam hilang pertimbangan serta kewarasan fikiran sehingga sanggup menghina agama sendiri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata ia kerana masyarakat Islam khususnya orang Melayu di negara ini, cukup sensitif apabila membicarakan perkara berkait agama.

"Umat Islam, terutama orang Melayu (di Malaysia), cukup sensitif dengan agama. Kalau melihat sejarah bagaimana penjajah Inggeris mampu bertapak lama di negara kita, ia kerana dia tahu psikologi orang Melayu dari segi agama… sensitif bab agama.

"Jahat macam mana pun, minum arak dan sebagainya, tetap nak dikebumikan cara Islam... bermaksud masih ada iman dalam dirinya.

"Namun apabila sampai sanggup menghina agama, bermakna ada sesuatu tekanan atau masalah mental sehingga menyebabkannya bertindak sebegitu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan 2022, di sini, hari ini.

Beliau mengulas isu semakin banyak kes membabitkan umat Islam didakwa menghina agama sendiri, termasuk menerusi beberapa video tular yang berbaur provokasi dan menghina atau mempersendakan Islam.

Antaranya, seorang penghantar makanan terpaksa meringkuk selama enam bulan dalam penjara selepas gagal membayar denda RM50,000 atas kesalahan membuat serta memulakan penghantaran komunikasi jelik yang menghina umat dan agama Islam serta Rasulullah SAW melalui laman sosial YouTube pada minggu lalu.

Mohd Nor' Muzil Mohd Razalli, 39, dihukum denda itu selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Sepang, hari ini, sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Satu lagi kes lain pula membabitkan wanita yang tular dalam media sosial kerana menanggalkan baju kurung dan tudung dipakainya ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi, Siti Nuramira Abdullah, didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, 13 Julai lalu, atas pertuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam.

Mengulas lanjut, Idris memaklumkan untuk terus memperkukuh pegangan agama dan akidah umat Islam terutama golongan muda, konsep dakwah perlu diperluas agar sampai kepada semua golongan.

"Justeru, kita perlu berjalan dan berjalan... konsep dakwah bukan hanya di masjid, sebaliknya buat juga dalam konteks dakwah jalanan dan laksanakan program kefahaman agama.

"Ini pendidikan yang kita berikan untuk mencegah gejala seperti ini. Usaha mesti ada dan pada masa sama, memberi pendidikan serta hukuman jika melanggar peruntukan undang-undang," katanya.

Berita Harian X