Khamis, 21 Julai 2022 | 10:33am
- Foto FB Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)
- Foto FB Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)

WAFIQ kemuka 3 syor perkukuh usaha kekang gangguan seksual

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) mengutarakan tiga syor kepada kerajaan untuk diteliti semula bagi mengukuhkan lagi akta sedia ada dalam usaha mengekang gangguan seksual tanpa mengira jantina, khususnya di tempat kerja.

Pertama, WAFIQ menyarankan kepada kerajaan supaya menggubal Akta Kesamaan bagi melindungi hak wanita di tempat kerja, mengambil kira sensitiviti budaya masyarakat negara ini.

Kedua, kerajaan digesa memperkukuh prosedur untuk menangani gangguan seksual di tempat kerja yang terkandung dalam Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177).

Ketiga, Akta Gangguan Seksual mengandungi Kod Amalan dengan definisi jelas dan lebih komprehensif mengenai gangguan seksual.

Tuntutan itu turut didorong satu kajian dijalankan WAFIQ pada 2017 hingga 2018, dengan kolaborasi dengan universiti tempatan terhadap sebanyak 402 responden wanita yang bekerja dalam kalangan umur 18 hingga 60 tahun.

Kajian mendapati 33.7 peratus responden mengakui pernah diganggu secara seksual berbentuk konotasi, pandangan, gerak tubuh dan komen tidak disenangi di tempat kerja.

Bagi 32.6 peratus responden pula pernah mengalami sendiri sentuhan badan yang tidak disenangi di tempat kerja.

Majoriti responden tidak membuat aduan secara rasmi kerana merasakan penyelesaian mengikut lunas undang-undang semasa tidak memadai untuk melindungi mereka.

"Kebanyakan responden iaitu 48.3 peratus menjawab, gangguan seksual yang mereka alami berlaku di pejabat, 13.8 peratus responden pernah mengalami gangguan seksual di kafeteria dan di luar.

"Bagi 8.6 peratus respon pula pernah alami gangguan seksual sewaktu berada di koridor, disusuli 6.9 peratus responden masing-masing berdepan situasi itu ketika di tandas dan bilik mesyuarat," menurut kajian itu.

Kajian itu juga mendedahkan, kebanyakan gangguan seksual berlaku dilakukan rakan sekerja iaitu 50 peratus. Sebanyak 28 peratus responden mengakui diganggu secara seksual oleh pelanggan, pekerja bawahan (11.1 peratus), ketua atau penyelia (7.4 peratus) dan lain-lain (3.7 peratus).

Justeru, WAFIQ berkata pihaknya mengharapkan masyarakat negara ini cakna dan mengangkat peri penting langkah-langkah bagi menolak normalisasi kelucahan dalam setiap aspek interaksi sosial.

Ia termasuk menjamin persekitaran selamat bagi setiap individu tidak kira wanita, lelaki, kanak-kanak, dewasa dan warga emas, khususnya golongan rentan.

Susulan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021 diluluskan di Dewan Rakyat semalam, WAFIQ berkata, sejak menyertai projek khas pasukan pendrafan RUU berkenaan pada 2019, pihaknya sememangnya berpegang teguh menyokong dan memberikan komitmen penuh untuk membantu penggubalan akta khas terbabit.

"Malah dalam Laporan WAFIQ ke Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersekutu bagi proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) pusingan ketiga ke atas Malaysia dalam tahun 2018, WAFIQ turut mengangkat isu gangguan seksual dan mengesyorkan agar suatu akta khusus digubal bagi menunjukkan komitmen penuh kerajaan dalam menangani gangguan seksual.

"WAFIQ mengucapkan tahniah kepada keseluruhan warga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di atas kejayaan mendraf dan membentangkan RUU Antigangguan Seksual 2021 sehingga berjaya diluluskan di Dewan Rakyat semalam," katanya.

Berita Harian X