Rabu, 20 Julai 2022 | 4:32pm
Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail. - Foto fail
Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail. - Foto fail

3,320.09 hektar tanah terbiar di Kelantan diusahakan sejak 2006

KOTA BHARU: Seluas 3,320.09 hektar tanah terbiar di Kelantan diusahakan sejak 2006 sehingga kini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Beliau berkata bagi perancangan jangka pendek melalui peruntukan negeri di bawah Program Tanah Terbiar, sebanyak RM600,000 diperuntukkan setiap tahun untuk diagihkan kepada semua daerah bagi tujuan itu.

Katanya, siling bagi Program Tanah Terbiar adalah sebanyak RM20,000 per hektar dan Jabatan Pertanian mengenal pasti permohonan daripada petani yang layak serta memenuhi syarat ditetapkan untuk dibangunkan dengan tanaman bersesuaian.

"Kesemua ketua jajahan dilantik sebagai ahli jawatankuasa bagi menyelaras dan memantau agenda pembangunan tanah terbiar di jajahan seluruh Kelantan sekali gus mengenal pasti serta melengkapkan data kawasan tanah terbiar yang terkini.

"Skop tanaman diberi kepada komoditi yang tersenarai di bawah majlis Tindakan Ekonomi Negara seperti kelapa dan durian. Bagi tanaman kekal digalakkan untuk menanam tanaman selingan sementara menunggu hasil, contohnya tanaman durian selingan tembikai.

"Pihak Jabatan Pertanian akan sentiasa bersama-sama dengan Pejabat Tanah dan Jajahan untuk mengenal pasti lot-lot tanah terbiar bersama pemain industri dalam sektor pertanian dan pemilik tanah untuk dibangunkan di kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah (PAS-Limbongan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.

Tuan Mohd Saripudin berkata projek yang boleh menjadi ikon pembangunan tanah terbiar di Kelantan adalah tanaman kelapa di Gong Tengah, Semerak dan tanaman durian di Kampung Cheker, Pisang Menggala, Pasir Puteh.

"Melalui Jawatankuasa Induk Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau, semua ketua jajahan dilantik sebagai ahli jawatankuasa bagi menyelaras dan memantau agenda pembangunan tanah terbiar di setiap jajahan seluruh Kelantan sekali gus mengenal pasti dan melengkapkan data kawasan tanah terbiar yang terkini," katanya.

Berita Harian X