Selasa, 19 Julai 2022 | 8:03pm
Foto BERNAMA
Foto BERNAMA

Wajarkah Ahli Parlimen suka buat kenyatan seksis dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR: Sesi petang Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila seorang wakil rakyat pembangkang membangkitkan persoalan sama ada Akta Antigangguan Seksual akan turut dikenakan kepada Ahli Parlimen yang membuat kenyataan berbaur seksis selepas ia dikuatkuasakan kelak.

Ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual, Teo Nie Ching (PH-Kulai) mendakwa sekurang-kurangnya ada tiga Ahli Parlimen iaitu Kinabatangan, Pasir Salak dan Baling sering membuat kenyataan berbaur seksis kepada wakil rakyat wanita di dalam Dewan Rakyat.

Beliau berkata, pihaknya ingin melihat sama ada perubahan 'budaya' itu boleh berlaku dengan penguatkuasaan akta berkenaan kelak.

"Dengan wujudnya tribunal bagi RUU Antigangguan Seksual nanti, adakah kita boleh membawa ke tribunal jika ada Ahli Parlimen membuat kenyataan seksis atau mereka terus menikmati imuniti?.

"Apabila Ahli Parlimen sama membuat kenyatan seksis, selain menunjukkan mereka bermasalah, ia juga menunjukkan Dewan Rakyat gagal dalam tanggungjawab mempertahankan maruah Ahli Parlimen wanita," katanya.

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) kemudiannya bangkit mencelah dengan menyatakan kenyataan bersifat seksis itu hanya terjadi selepas provokasi dibuat oleh wakil rakyat wanita khususnya terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ia kemudiannya menimbulkan kekecohan apabila P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) dan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) turut bangkit mempertikaikan tindakan itu.

Sementara itu, Nurul Izzah Ibrahim (PH-Permatang Pauh), berkata isu gangguan seksual itu bukan hanya perlu dilihat dari segi pindaan undang-undang tetapi juga kesedaran termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen.

Di United Kingdom (UK) katanya, terdapat dasar salah laku seksual di Parlimen, yang menunjukkan negara itu sedar Ahli Parlimen juga perlu mempunyai kesedaran dan belajar mengenai perkara itu.

"Pada saya, sudah tentu kita tidak mahu sebarang kata kesat dikeluarkan dan sebagai wakil rakyat, sudah tentu kita semua perlu bersikap sabar dan mengutamakan kepemimpinan melalui teladan.

"Jika ada seseorang bangun dan menyakiti hati Ahli Parlimen yang lain, itu tidak boleh menjadi sebab untuk melemparkan kata yang jauh lebih kesat atau berunsur seksis," katanya.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun membentangkan RUU itu bagi bacaan kedua di Dewan Rakyat.

Berita Harian X