Selasa, 19 Julai 2022 | 3:51pm
Persidangan DUN Perak, panas dengan isu projek rintis perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) lantanid di Hulu Perak. - Foto NSTP/IHSAN MEDIA SUK PERAK
Persidangan DUN Perak, panas dengan isu projek rintis perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) lantanid di Hulu Perak. - Foto NSTP/IHSAN MEDIA SUK PERAK

Sidang DUN Perak kecoh isu pelombongan lantanid

IPOH: Isu projek rintis perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) lantanid di Hulu Perak menjadi tumpuan hangat pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

Sesi sidang yang baharu sahaja bermula pagi tadi menjadi panas dan kecoh seketika selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, menjawab soalan lisan berhubung perkara berkenaan yang diutarakan oleh Yahaya Mat Nor (Pasir Panjang-PH).

Meskipun sudah berulang kali isu dibangkitkan dan mendapat penjelasan di peringkat kerajaan negeri bahawa projek masih berdepan beberapa proses kelulusan sebelum kerja melombong, isu itu terus mendapat pertikaian.

Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk Yahaya bangkit memberi soalan tambahan berhubung perkara itu, antaranya Salbiah Mohamed (Temenggor-BN), Datuk Aznel Ibrahim (Pengkalan Hulu-BN), Datuk Mohd Tarmizi Idris (Kenering-BN) dan Howard Lee Chuan How (Pasir Pinji-DAP).

Saarani menegaskan, kerajaan memberi jaminan nadir bumi itu selamat untuk diterokai.

"Pendirian kerajaan negeri begitu jelas dan tegas bahawa ia tidak akan dilangsungkan jika bahan itu sumber bahan radioaktif.

"Kita tidak akan mempertaruhkan nyawa kesihatan dan nyawa manusia hanya semata-mata untuk mencari pendapatan baharu. Jabatan Atom sudah mengesahkan sumber berkenaan bukanlah sumber radioaktif," katanya.

Mengulas lanjut, beliau sekali lagi menjelaskan, projek rintis masih melalui beberapa proses sebelum kerja melombong boleh dilaksanakan.

"Seperti yang kita maklum, ini adalah peringkat projek rintis, bermakna belum lagi mendapat hasil apa-apa.

"Selepas semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dan syarikat berkenaan sudah boleh memulakan projek, barulah kita boleh lihat sama ada nadir bumi berkenaan boleh diproses di negara ini.

"Tak perlu bimbang kerana kerajaan negeri tegas dengan peraturan serta undang-undang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Yahaya berhubung rungutan banyak pihak mengatakan projek itu membabitkan kawasan sensitif.

Saarani berkata, kerajaan negeri turut memberi jaminan perubahan kerajaan di masa akan datang tidak akan menjejaskan terhadap kesinambungan pelaksanaan projek.

"Sebenarnya NR-REE ini sudah dimulakan pada zaman Pakatan Harapan (PH), kemudian kepada Perikatan Nasional (PN) dan seterusnya kepada saya sekarang.

"Jika sekalipun berlaku pertukaran kerajaan, jika ia (lantanid) adalah sumber yang baik untuk kita jadikan pendapatan, tidak perlulah kita nak tukar. Teruskan kerana ia adalah satu sumber baharu kepada kerajaan negeri," katanya.

Aznel kemudian bertanya sama ada kerajaan mengkaji lebih mendalam mengenai kesan sebelum merancang mengeluarkan mineral itu supaya penduduk sekeliling tidak berasa bimbang.

Mohd Tarmizi selaku ADUN di kawasan pelaksanaan projek turut bangun dan berkata, projek itu perlu dikaji semula kerana mungkin memberi kesan besar kepada penduduk.

Katanya, kerajaan negeri perlu mengambil contoh bencana banjir dan kepala air yang berlaku di Baling, Kedah, baru-baru ini berikutan bimbang mungkin berlaku perkara sama di kawasan projek rintis perlombongan lantanid itu.

"Kedudukan kawasan itu memberi kesan yang cukup besar, jadi sejauh mana jaminan kerajaan negeri dapat memastikan kawasan yang digondolkan dengan kesan korek kolam yang tidak diluluskan sebelum ini itu dapat dihijaukan semula dalam tempoh masa terdekat," katanya.

Berita Harian X