Selasa, 19 Julai 2022 | 11:17am

Kerajaan teruskan projek rel untuk manfaat rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan meneruskan semua perancangan pembangunan rel sedia ada walaupun berdepan kelewatan akibat pelbagai kekangan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata sebagai contoh, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepatutnya siap pada 2024, namun disebabkan kekangan tertentu, projek itu perlu dimulakan dengan lebih cepat.

"Kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan Selangor kerana sebelum ini, kita tidak mendapat kebenaran selama 18 bulan tapi selepas perbincangan sebanyak 37 kali, kita dapat persetujuan dengan kerajaan negeri.

"Kini, kita senada dengan semua negeri untuk menyiapkan projek ini mengikut waktu yang dirancang walaupun dianjak ke belakang sedikit.

"Kesannya, mereka yang mahu balik ke Kota Bharu, mungkin ambil masa tujuh ke lapan jam, kalau Aidilfitri, mungkin 12 jam, tapi dengan kelajuan (ECRL), maka ia contohnya disingkatkan kepada empat jam saja," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya langkah kerajaan untuk membaiki 'kesilapan' yang dilakukan kerajaan terdahulu dalam tempoh 22 bulan bagi memastikan projek untuk manfaat rakyat dapat diteruskan walau siapa pun yang memerintah.

Menjawab soalan asal Ahmad mengenai status projek ECRL, Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Transit Aliran Massa (MRT) bagi mengurangkan kesesakan terutama ketika cuti panjang dan perayaan, Ka Siong berkata, sehingga Jun lalu, pembinaan keseluruhan projek ECRL mencapai kemajuan sebanyak 31.48 peratus.

Bagi HSR Kuala Lumpur-Singapura, Ka Siong memaklumkan, beliau berbincang dengan rakan sejawatnya dari Singapura pada 16 Mei lalu bagi memperhalusi cadangan model baharu projek berkenaan dan bagi HSR Kuala Lumpur-Bangkok, Malaysia dan Thailand bersetuju supaya satu jawatankuasa khas antara Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara diwujudkan bagi membincangkan mengenai perancangan, jajaran dan aspek teknikal lain.

"Selain itu, projek MRT2 atau MRT Laluan Putrajaya yang menghubungkan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya pula sejauh 56.4 kilometer (km) dan terdiri daripada 36 stesen serta empat stesen provisional dijangka siap sepenuhnya menjelang Januari 2023.

"Bagi MRT3, MRT Corp dalam proses melantik perunding pengurusan projek (PMC) dan tiga kontraktor bagi pakej "civil works" (CMC). Tender bagi pakej "system works" akan dibuka kelak," katanya.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Berita Harian X