Selasa, 19 Julai 2022 | 11:14am

Tiga hingga enam bulan uji mekanisme pemberian subsidi petrol bersasar

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih di peringkat awal dalam pengujian mekanisme pemberian subsidi petrol secara berasar di seluruh negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata pengujian lebih meluas diperlukan bagi kebolehlaksanaan subsidi bersasar petroleum bagi memastikan ia tidak mengakibatkan inflasi secara mendadak.

"Ia akan disusuli dengan pengujian lebih meluas dari segi beberapa kaedah lain termasuk menguji kebolehlaksanaan mekanisme berkenaan sama ada di bandar dan luar bandar dan memerlukan tempoh tiga hingga enam bulan sebelum ia bersedia untuk dilaksanakan.

"Pelaksanaan mekanisme pemberian subsidi bersasar dirancang secara berfasa supaya tidak berlaku inflasi mendadak sehingga jejaskan momentum pertumbuhan ekonomi negara," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu berhubung pengujian subsidi bersasar kepada petroleum.

Pada masa sama Tengku Zafrul berkata, kadar inflasi negara berada pada tahap sederhana iaitu 2.8 peratus sehingga Mei lalu, berikutan kawalan terhadap harga barangan dan perkhidmatan asas.

Sementara itu katanya, harga minyak mentah dan sawit yang lebih tinggi tahun ini dijangka akan menjana hasil cukai tambahan melebihi RM10 bilion.

"Kini, harga minyak mentah dunia meningkat melebihi AS$100 (RM445) setong sejak Mac tahun ini. Bagi minyak sawit mentah (CPO) pula, andaian Bajet 2022 adalah sekitar RM3,400 setan metrik (RM3,444).

"Tetapi purata harga sawit sebenar melebihi RM6,000 setan metrik semenjak harganya meningkat dengan mendadak pada bulan Mac yang lalu," katanya.

Beliau berkata, momentum pemulihan melebihi jangkaan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada suku pertama tahun ini amat memberangsangkan iaitu pada kadar lima peratus dan dijangka lebih kukuh pada suku kedua.

Katanya, berdasarkan perkembangan itu, negara bakal menerima hasil tambahan berkaitan cukai pendapatan serta cukai tidak langsung melebihi RM10 bilion lagi.

"Namun, semua peningkatan hasil ini tidak mencukupi untuk menampung peningkatan subsidi yang melebihi RM40 bilion," katanya.

Beliau berkata, berikutan harga komoditi global dijangka kekal pada paras tinggi untuk separuh tahun kedua 2022, kerajaan

melaksanakan strategi menyemak dan menilai semula keberkesanan setiap program subsidi serta insentif yang dilaksanakan.

Katanya, kerajaan juga meneliti sumber hasil dan penjimatan tambahan bagi menampung keperluan tambahan subsidi bagi separuh tahun kedua ini.

Tengku Zafrul turut menegaskan dakwaan kerajaan mengurangkan bantuan dan subsidi adalah tidak benar sama sekali sedangkan hakikatnya kerajaan terus memberi pelbagai bantuan dan subsidi kepada rakyat, terutama berkaitan minyak dan petroleum.

"Di samping itu, kerajaan juga memperkenalkan subsidi baharu yang tidak termasuk dalam Bajet 2022, iaitu bagi ayam dan telur

serta elektrik...bagi petrol, diesel dan LPG contohnya, anggaran keperluan subsidi tahun ini adalah RM37.3 bilion,

berbanding RM13.2 bilion pada tahun lepas.

"Minyak masak pula mencecah RM4 bilion, berbanding RM2.2 bilion dan bagi subsidi kepenggunaan lain, anggaran perbelanjaan adalah RM9.7 bilion berbanding hanya RM1.1 bilion tahun lalu," katanya.

Foto fail NSTP
Foto fail NSTP
Berita Harian X