Isnin, 18 Julai 2022 | 3:05pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berucap pada Seminar Pencegahan Jenayah Syariah Peringkat Kebangsaan 2022 yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berucap pada Seminar Pencegahan Jenayah Syariah Peringkat Kebangsaan 2022 yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.

Bahaya normalisasi pelakuan hina agama

KUALA LUMPUR: Masyarakat diingatkan perlakuan menghina agama tidak boleh dinormalisasi atau dianggap sebagai kebiasaan sehingga mengganggu gugat keharmonian kaum dalam negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan apa-apa kejadian yang menghina kesucian Islam, al-Quran, Rasulullah SAW dan seumpamanya.

"Jika ia berlaku di Wilayah Persekutuan, saya minta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengambil langkah tegas membuka kertas siasatan untuk tujuan dibawa ke mahkamah syariah.

"Inilah tanggungjawab kepada kita semua iaitu amanah menjaga agama Islam. Jangan memperlekeh atau membuat lawak hal-hal berkait agama, ini perkara yang perlu diambil kira semua pihak," katanya ketika merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Syariah Peringkat Kebangsaan 2022 di Masjid Wilayah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Idris ketika menyentuh isu pentas komedi yang menghina Islam baru-baru berkata, ia memperlihatkan umat Islam khususnya berdiri teguh di belakang agensi kerajaan.

"Kita dapat dapat melihat kehendak masyarakat yang mahu tindakan tegas diambil kepada pihak berkaitan," katanya.

Pada 13 Julai lalu, seorang wanita yang videonya tular kerana menghina Islam di pentas komedi didakwa di mahkamah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, manakala teman lelakinya dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana memuat naik kandungan menghina di media sosial.

Semalam pula, seorang lelaki berusia 39 tahun dan bekerja sebagai penghantar makanan ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari di sebuah rumah di Bukit Kuchai, Puchong, dekat sini bersabit video berdurasi 36 saat yang tular di media sosial, memaparkan tindakannya menghina umat dan agama Islam serta Nabi Muhammad SAW.

Sementara itu, Idris berkata, kaunseling akan diberikan kepada mereka yang melakukan tindakan menghina agama supaya mereka kembali sedar, tidak terpesong akidah.

"Kadang kala mereka ini tidak tahu apa yang dilakukan, jadi kita kena maklum.. beritahu apa yang diungkapkan mereka adalah bahaya," katanya.

Mengulas mengenai keruntuhan institusi keluarga akibat arak dan judi sehingga menyumbang jenayah dera, zina, rogol dan langgar lari, Idris menegaskan semua pihak perlu bekerjasama mengekang jenayah itu daripada berleluasa.

"JAWI sendiri buat permulaan sejak dua bulan lalu sudah meletakkan van penguat kuasa di satu tempat 'hotspot' judi dan pemantauan awal mendapati tidak ramai orang Islam yang memasuki premis.

"Kalau ada orang Islam, penguat kuasa akan dekati mereka dan tindakan lebih kepada advokasi dan nasihat berlandaskan syariah agama.

"Kadang kita tidak tahu sebab apa dia beli (nombor ekor), bukan soal sikit atau banyak dia beli, tapi soal amalan itu yang menjadikan ketagihan yang membawa mudarat," katanya.

Berita Harian X