Ahad, 17 Julai 2022 | 10:57pm

Jangkitan HFMD Johor sudah 79 kali ganda

JOHOR BAHRU: Kes kumulatif bagi penyakit tangan, kaki dan Mulut (HFMD), wabak jangkitan saluran pernafasan iaitu Influenza-like-illness (ILI) dan Upper Respiratory Tract Illness (URTI) di Johor sudah meningkat 79 kali ganda tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Johor, Ling Tian Soon, berkata sehingga semalam sebanyak 8,376 kes dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 79 kali ganda, berbanding 106 kes yang dilaporkan pada tempoh yang sama pada tahun lalu.

Katanya secara keseluruhan, daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan kes HFMD tertinggi iaitu 2,897 kes, Kluang (1,093 kes), Tangkak (883 kes), Batu Pahat (846 kes), Segamat (752 kes), Kota Tinggi (650 kes), Pontian (539 kes), Muar (325 kes), Kulai (266 kes) dan Mersing 125 kes.

"Walaupun ada peningkatan, situasi ini masih terkawal. Ini dibuktikan dengan penurunan ketara tren kes HFMD yang dilaporkan di negeri Johor bermula pada minggu epid 22 sehingga minggu epid 28.

"Kebanyakan kes HFMD di negeri ini berlaku dalam kalangan kanak-kanak bawah usia enam tahun iaitu sebanyak 7,214 kes, diikuti oleh kumpulan umur 7-12 tahun iaitu 998 kes, dan selebihnya adalah berumur lebih daripada 13 tahun.

"Sehingga kini, ada hanya 1 wabak aktif HFMD membabitkan daerah Johor Bahru. Lokasi penularan wabak HFMD di Negeri Johor melibatkan taska (45 wabak), rumah persendirian (22 wabak), tabika (13 wabak), tadika (9 wabak), prasekolah (9 wabak), sekolah rendah (3 wabak), pusat jagaan harian (3 wabak) dan lain-lain (2 wabak)," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tian Soon berkata, bagi wabak ILI dan URTI pula, sebanyak 1,352 kes jangkitan saluran pernafasan pada minggu epid 28, iaitu peningkatan sebanyak 2.4 kali ganda berbanding 574 kes pada tempoh yang sama bagi tahun 2021.

Katanya, bilangan kluster wabak salur pernafasan juga menunjukkan peningkatan, iaitu sebanyak 16 kluster berbanding dengan 8 kluster pada tempoh masa tahun lalu.

"Kebanyakan kluster yang dilaporkan adalah melibatkan institusi pendidikan (75.0 peratus).

"Merujuk kepada survelan ILI yang dijalankan di Klinik Kesihatan negeri Johor, terdapat peningkatan bagi kes yang dilaporkan pada minggu epid 23 sehingga minggu epid 27.

"Namun pada minggu epid 28, tren menunjukkan terdapat sedikit penurunan bilangan kes yang dilaporkan,"katanya.

Berita Harian X