X
Khamis, 14 Julai 2022 | 7:25pm
Nancy (dua dari kanan) menandatangani plak pelancaran Mardhiyyah Hotel and Suites sambil diiringi Pengarah Urusan hotel itu, Datuk Seri Mohamad Rafik Mohd Idris (kanan) pada majlis pelancaran hotel berkenaan di Seksyen 14, Shah Alam, hari ini. - BERNAMA
Nancy (dua dari kanan) menandatangani plak pelancaran Mardhiyyah Hotel and Suites sambil diiringi Pengarah Urusan hotel itu, Datuk Seri Mohamad Rafik Mohd Idris (kanan) pada majlis pelancaran hotel berkenaan di Seksyen 14, Shah Alam, hari ini. - BERNAMA

MOTAC tiada kuasa ambil tindakan penipuan visa furada - Nancy

SHAH ALAM: Isu berkaitan visa furada bukan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kata Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Sebaliknya, beliau berkata, kementerian hanya menguruskan urusan pelancongan dan umrah ke tanah suci Makkah.

"Sebenarnya kita hanya (urus) untuk pelancongan dan umrah, itu MOTAC. Dalam hal (visa furada) ini, tiada kena mengena dengan kita atau kerajaan. Ia adalah dengan Kedutaan Arab Saudi, mereka beri visa furada dan ia di luar daripada tanggungan kita," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Mardiyyah Hotel and Suites, di sini hari ini, Nancy mengakui isu penipuan visa furada berlaku setiap tahun, namun kementeriannya tidak boleh mengambil tindakan terhadap agensi pelancongan yang terkait tanpa bukti.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, jumlah pelancong yang berkunjung ke negara ini dijangka meningkat melebihi sasaran awal yang ditetapkan iaitu 4.5 juta orang.

Katanya, ia berikutan negara ini menyediakan ekosistem pelancongan Muslim yang holistik dengan adanya hotel mesra Muslim serta kemudahan untuk mendapatkan makanan halal.

"Ketika menghadiri persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Azerbaijan baru-baru ini, saya melihat banyak negara memilih Malaysia sebagai destinasi percutian mesra Muslim.

"Kita memang negara Islam dan dengan wujudnya kemudahan hospitaliti mesra Muslim, ia pasti akan meningkatkan jumlah pelancong ke negara ini," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pelancong meminta agar Malaysia meningkatkan kemudahan dari aspek perhubungan terutama kekerapan penerbangan atau penerbangan secara terus ke negara ini.

"Pada September ini, kita akan semak balik, mungkin akan lebih dari angka 4.5 juta (sasaran pelancong awal)," katanya.

Berita Harian X