Khamis, 14 Julai 2022 | 10:55am
 Ops Air Raya berjaya menghasilkan 204 tindakan undang-undang terhadap premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS) dan Peraturan-Peraturan bawahnya. - Foto FB JAS
Ops Air Raya berjaya menghasilkan 204 tindakan undang-undang terhadap premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS) dan Peraturan-Peraturan bawahnya. - Foto FB JAS

204 tindakan diambil melalui Ops Air Raya

PUTRAJAYA: Ops Air Raya yang diadakan di seluruh negara bermula 1 hingga 7 Julai lalu berjaya menghasilkan 204 tindakan undang-undang terhadap premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS) dan Peraturan-Peraturan bawahnya.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata ia membabitkan pemeriksaan terhadap 275 premis daripada sepuluh sektor industri yang dikenalpasti mempunyai tahap pematuhan rendah kepada AKAS 1974.

Beliau berkata, industri yang diperiksa adalah sektor industri penyudahan logam dan salur elektrik, kertas, pengilangan logam, plastik, galian bukan logam, penapisan minyak makan, makanan dan minuman, kimia, berasaskan getah dan penapisan petroleum.

"Sebanyak 204 tindakan undang-undang diambil membabitkan 71 notis arahan, 126 kompaun berjumlah RM252,000 dikeluarkan, empat penahanan operasi kelengkapan dan tiga kes untuk penyediaan kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan.

"Antara kesalahan yang sering dilakukan adalah gagal menguruskan buangan terjadual (BT) seperti yang

dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Wan Abdul Latiff berkata, berikutan risiko kesihatan terhadap manusia serta pencemaran air, udara dan tanah, pengurusan BT perlu diberi perhatian yang serius mengikut undang-undang dan garis panduan serta dikitar semula, diperoleh kembali atau dilupuskan di premis yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sahaja.

Beliau berkata, pihak industri dilarang sama sekali melupuskan buangan terjadual secara haram atau mereka boleh berdepan dengan tindakan tegas mengikut Seksyen 34B, AKAS 1974.

Katanya, melalui peruntukan itu, pihak yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun dan denda maksimum sebanyak RM500,000.

Selain itu, beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran sungai yang menjadi sumber bekalan air.

"Dalam hal ini, premis yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 25, AKAS 1974 iaitu berkaitan pencemaran air,boleh dikenakan denda maksimum

RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Ops Air Raya kali ini membabitkan kekuatan 86 pasukan penguatkuasa dengan 235 anggota penguatkuasa JAS dari seluruh negara.

Katanya, JAS turut mendapat kerjasama pelbagai agensi penguatkuasa di peringkat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, antaranya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Audit Negara (JAN) serta Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP).

"JAS menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi penguatkuasa yang memberikan kerjasama serta sokongan padu dalam menjayakan ops ini.

"Saya sangat berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat mengenai aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

"JAS sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar," katanya.

Justeru, Wan Abdul Latiff meminta orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Berita Harian X