X
Selasa, 12 Julai 2022 | 6:39pm
Anggota pasukan penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan membuat pemeriksaan terhadap lori tangki disyaki melakukan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Kampung Baru Sungai Nipah, Port Dickson, petang tadi. Foto ihsan KPDNHEP Negeri Sembilan
Anggota pasukan penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan membuat pemeriksaan terhadap lori tangki disyaki melakukan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Kampung Baru Sungai Nipah, Port Dickson, petang tadi. Foto ihsan KPDNHEP Negeri Sembilan

Stor haram seleweng minyak diesel diserbu

SEREMBAN: Sebuah stor haram yang dijadikan tempat kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Jalan Jambu, Kampung Baru Sungai Nipah, Port Dickson, dekat sini, diserbu pihak berkuasa petang tadi.

Hasil serbuan pada jam 1.15 tengah hari itu, pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, menemui kira-kira 15,000 liter minyak diesel dalam dua lori tangki.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd Muis Samsudin, berkata ketika serbuan dijalankan, pasukan penguat kuasa mendapati terdapat dua lori tangki berada di perkarangan kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, terdapat hos bagi kerja pemindahan minyak diesel daripada lori berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati terdapat kira-kira 15,000 liter minyak diesel dalam kedua-kedua lori tangki berkenaan.

"Semakan awal juga mendapati premis diserbu tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel," katanya di sini, hari ini.

Abd Muis berkata, tiada suspek atau individu bertanggungjawab ditemui di tempat kejadian ketika serbuan dijalankan.

Beliau berkata, sebanyak 15,000 liter minyak diesel, dua lori tangki dan peralatan digunakan untuk kerja pemindahan diesel disita bagi tujuan siasatan dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM92,250.

Katanya, tindakan itu dilakukan hasil maklumat risikan yang dijalankan selama seminggu oleh KPDNHEP Negeri Sembilan yang mendapati terdapat aktiviti pembelian diesel daripada stesen minyak oleh lori tangki berkenaan.

"Mereka disyaki melakukan aktiviti penghantaran dan penyimpanan minyak diesel di lokasi sasaran serbuan.

"Maklumat awal mendapati stor berkenaan juga beroperasi sebagai tempat penyimpanan sekitar enam bulan," katanya.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Seksyen 20 (1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat tidak dilesenkan.

Katanya, pihak kementerian akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan terhadap penyelewengan minyak diesel di negeri ini serta tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan sindiket berkenaan.

"Pengguna di Negeri Sembilan boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga tidak mematuhi undang-undang melalui Portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) atau talian bebas tol 1800 886 800 atau Whatsapp 019 279 4317," katanya.

Berita Harian X