Jumaat, 8 Julai 2022 | 3:21pm

Tragedi Baling: Gunung Inas umpama 'bom jangka' - Azeez

BALING: Gunung Inas yang dikaitkan dengan bencana banjir lumpur serta kepala air yang mengorbankan tiga nyawa penduduk pada Isnin lalu, dianggap umpama 'bom jangka' yang merisikokan kira-kira 2,000 penduduk Kampung Iboi di Kupang dan sekitarnya.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang berpandangan demikian, berkata ini kerana bencana berkenaan mungkin boleh berulang lagi pada bila-bila masa dan menyebabkan rakyat menjadi mangsa, sekali gus mendesak kerajaan mencari penyelesaian segera.

Beliau khuatir selagi wujud kolam takungan ladang durian Musang King di puncak gunung berkenaan, penduduk akan terus dibelenggu rasa bimbang sehingga takut untuk pulang ke rumah masing-masing selepas kejadian Isnin lalu.

"Setakat ini, saya tidak terima sebarang laporan apa tindakan kerajaan untuk atasi masalah, tapi saya ada rancangan sendiri untuk pastikan keselamatan rakyat," katanya ketika ditemui semasa mengiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin meninjau kesan bencana berkenaan, hari ini.

Kesan akibat kejadian banjir lumpur dan kepala air di Kampung Iboi, Baling, Kedah pada Isnin lalu. - Foto NSTP/Danial Saad
Kesan akibat kejadian banjir lumpur dan kepala air di Kampung Iboi, Baling, Kedah pada Isnin lalu. - Foto NSTP/Danial Saad

Katanya, beliau bersama beberapa penduduk yang mendaki Gunung Inas sebelum ini melihat sendiri banyak kolam takungan dibina di kawasan ladang durian dan percaya ia tidak mengikut spesifikasi sewajarnya.

"Sehingga jadi seperti 'time bomb' kepada orang di bawah. Kolam itu dibina tanpa ikut spesifikasi, tiada besi cerucuk ditanam, cuma dikorek dan tadah air hujan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Isnin lalu, lebih 800 rumah penduduk terutama di Kampung Iboi serta sekitar Kupang terjejas, termasuk 15 kediaman lenyap dan 18 lagi rosak teruk terkena kayu balak hanyut yang dibawa kepala air dari arah gunung.

Abdul Azeez berkata, pihaknya sudah menghantar memorandum mengenai masalah Gunung Inas kepada kerajaan negeri tahun lalu untuk memohon satu perbincangan bersama penduduk dibuat, tetapi tiada jawapan.

"Kita serah memorandum lapan bulan lalu kepada Menteri Besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor). Kita minta diadakan 'town hall' untuk penduduk bincang, tapi tiada jawapan sehingga kejadian Isnin lalu berlaku.

"Saya tidak suruh ladang durian tutup terus kerana ada perjanjian di antara kerajaan dan syarikat, tetapi kena ada cerdik pandai rancang pembinaan kolam yang ikut prosedur operasi standard (SOP) atau tutup terus semua kolam.

"Kolam memang tidak pecah, tapi aliran airnya yang keluar akan masuk ke sungai dan tingkatkan aliran. Seperti Isnin lalu, air dari bukit itu turun ke bawah sehingga ranapkan rumah," katanya.

Penduduk Kampung Iboi, Mohd Kamal Tahak, 36, menunjukkan kolam takungan ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas yang dirakamkan pada penghujung tahun lalu. - NSTP/Danial Saad
Penduduk Kampung Iboi, Mohd Kamal Tahak, 36, menunjukkan kolam takungan ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas yang dirakamkan pada penghujung tahun lalu. - NSTP/Danial Saad

Mengenai keengganan penduduk pulang ke rumah walaupun empat hari bencana berlalu, beliau menegaskan, kerajaan perlu memberi jaminan keselamatan terlebih dahulu sebelum mengarahkan mereka berbuat demikian.

"Kena ada jawapan dari kerajaan, khususnya agensi berkaitan bagi meyakinkan penduduk sama ada rumah mereka selamat diduduki atau tidak. Sekarang kita benarkan mereka pulang ke rumah pada waktu siang, malamnya balik tidur di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Ada penduduk saya tawar bina rumah baharu di tapak asal, tetapi mereka tak mahu kerana takut banjir berulang, kebanyakan mangsa juga hilang 90 peratus barang rumah. Kita sedang usaha bantu dengan belikan peti ais, periuk nasi dan alatan lain supaya mereka boleh balik rumah segera," katanya.

Abdul Azeez (dari kanan) dan Hamzah mendengar penerangan Jurutera Mekanikal JKR Kedah, Mohd Hazery Md Shamsi (kiri) ketika meninjau lokasi banjir lumpur di Kampung Iboi, Kupang, Baling, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Keadaan rumah yang terjejas teruk selepas banjir lumpur di Kampung Iboi. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Keadaan sebuah kereta yang hanyut dibawa arus dalam kejadian banjir lumpur di Kampung Iboi. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Keadaan sebuah kereta yang hanyut dibawa arus dalam kejadian banjir lumpur di Kampung Iboi. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X