Rabu, 6 Julai 2022 | 5:12pm
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (dua dari kiri) melancarkan Tabung Mangsa Banjir Baling Kedah di Seremban hari ini - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (dua dari kiri) melancarkan Tabung Mangsa Banjir Baling Kedah di Seremban hari ini - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil.

Projek bantuan rumah mangsa banjir belum siap

SEREMBAN: Semua pakej bantuan kepada mangsa banjir dalam bidang kuasa kerajaan negeri sudah selesai diagihkan sepenuhnya kepada mereka yang berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminunddin Harun, berkata bagaimanapun masih terdapat pakej bantuan yang dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan, yang belum disempurnakan dengan baik.

"Kerajaan negeri punya (bantuan kepada mangsa banjir) dah selesai, tinggal Kerajaan Persekutuan (yang belum), seperti bantuan untuk mendirikan rumah, kita sudah siapkan tapak rumah, tapi pembinaannya di bawah Kerajaan Persekutuan.

"Kerja-kerja membabitkan kemudahan prasarana lain seperti jambatan yang rosak, kita sedang uruskan kerana kos meningkat, cuma sebut harga ada perubahan kerana kos meningkat, tapi usaha itu berjalan.

"Negeri Sembilan lebih ke hadapan dari segi tindakan terhadap mangsa banjir," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, jalan yang rosak juga sudah diturap walaupun kadar harga pembaikan berubah kerana peningkatan kos bahan mentah.

"Proses membaiki prasarana yang rosak sebahagiannya sudah selesai namun terdapat segelintir lagi kerana masalah dengan kontraktor, namun dijangka selesai tidak lama lagi," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri menyalurkan lebih daripada RM5.6 juta kepada 5,671 ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir, bagaimanapun jumlah itu tidak termasuk 490 penternak dan petani kecil yang terjejas.

Mengenai pengukuran kawasan sempadan darat antara Negeri Sembilan dengan Selangor, beliau yakin ia akan berjalan lancar kerana setakat ini tiada isu membabitkan persempadanan antara kedua-dua negeri.

"Pengukuran persempadanan ini penting bagi memudahkan perancangan pembangunan dan setakat ini, tiada isu membabitkan persempadanan ini," katanya.

Sementara itu, Tabung Mangsa Banjir Baling Kedah turut dilancarkan dengan tujuan mengutip dana bagi membantu mangsa banjir di negeri berkenaan terutama di Kampung Iboi.

"Kita bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa banjir di Baling Kedah dan kita berharap menerusi tabung ini dapat membantu meringankan beban mangsa-mangsa berkenaan.

"Kita sasarkan sekurang-kurangnya RM20,000 dapat dikumpulkan pada peringkat awal dengan tabung ini dikendalikan Pusat Pembangunan Belia Negeri Sembilan (TABAH)," katanya.

Berita Harian X