Rabu, 6 Julai 2022 | 2:00pm
Sebuah rumah ditimbuni kayu balak dan tanah dibawa arus berikutan hujan lebat berterusan selama tiga jam yang menyebabkan banjir kilat di Kampung Iboi, Kupang. - BERNAMA
Sebuah rumah ditimbuni kayu balak dan tanah dibawa arus berikutan hujan lebat berterusan selama tiga jam yang menyebabkan banjir kilat di Kampung Iboi, Kupang. - BERNAMA

Tubuh Suruhanjaya Siasatan Awam tangani banjir lumpur, kepala air di Baling

GEORGETOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri Kedah mengadakan Suruhanjaya Siasatan Awam bagi mengenal pasti punca kejadian banjir dan kepala air di Baling, selain tragedi sama yang melanda Gunung Jerai pada Ogos tahun lalu.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, siasatan sedemikian diperlukan bagi memastikan punca sebenar apa yang berlaku di Kedah termasuk membantu mengenal pasti langkah serta jurang yang perlu ditangani dengan segera.

Beliau mengakui tindakan yang sekadar menyalurkan bantuan sama ada dalam bentuk material atau tunai tidak akan menghalang bencana daripada berlaku, kerana bukan hanya di Kedah tetapi semua negeri lain mempunyai penebangan hutan secara berleluasa termasuk semua jenis tujuan seperti pembalakan, perladangan dan aktiviti perlombongan.

"Jelas sekali, banyak kejadian seperti ini berlaku berbanding apa yang kita lihat dan jika mahu mengelak tragedi seumpama ini berulang, siasatan sebegini diperlukan untuk memastikan apa sebenarnya yang berlaku di Kedah dalam hal ini, serta apakah langkah dan jurang perlu ditangani dengan segera.

"Sekadar menyalahkan alam semula jadi tidak akan berfungsi lagi, kerana keamatan dan kekerapan hujan lebat akibat perubahan iklim akan menjadi masalah berulang," katanya melalui kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Meenakshi turut menggesa kerajaan Kedah lebih bertanggungjawab dalam mendepani kejadian banjir lumpur dan kepala air di Baling yang berlaku Isnin lalu, yang turut mengorbankan tiga nyawa.

Malah, beliau mengakui SAM kesal dengan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sekali lagi mengaitkan punca masalah kepala air dengan pengumpulan air di hulu berikutan hujan, sama seperti tragedi Gunung Jerai tahun lalu.

Katanya, fenomena kepala air tidak boleh dijadikan alasan mudah dengan hanya melihat foto sejumlah besar pokok dan kayu balak yang dihanyutkan dengan air dan sarat kelodak, apatah lagi terdapat video yang tular di media sosial menunjukkan sebuah syarikat mempromosikan ladang durian musang king di kawasan Gunung Inas, membabitkan pembukaan hutan secara besar-besaran.

"Sanusi pasti pernah melihat video berkenaan dan menjelaskan sama ada ia palsu atau benar, kerana kredibiliti kerajaan Kedah dipertaruhkan.

"Tanggapan Muhammad Sanusi yang menyalahkan alam semula jadi sebagai punca banjir teruk adalah paling tidak bertanggungjawab, kerana ia bertentangan dengan logik dan akal fikiran bahawa hulu Gunung Inas tidak berada dalam keadaan bersih dan tidak bebas daripada gangguan tanah," katanya.

Mengulas lanjut, Meenakshi berkata, pembukaan tanah yang sedang berlaku mungkin bukan bagi tujuan pembalakan, tetapi pastinya pihak berkaitan tidak boleh mendakwa tiada apa yang berlaku di kawasan itu.

Katanya, SAM juga terkilan dengan maklum balas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mendakwa tiada aktiviti pembalakan aktif dilaporkan di Hutan Simpan Gunung Inas.

"Dakwaan Menteri bahawa 5,000 pokok sudah ditanam di kawasan seluas 52 hektar sebagai sebahagian daripada usaha penghutanan semula di kawasan itu tidak memberi keselesaan kepada kami, kerana usaha berkenaan tidak penting, berbanding ratusan atau ribuan hektar yang ditebang bagi ladang atau tujuan lain," katanya.

Berita Harian X