Selasa, 5 Julai 2022 | 10:05pm
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ketika melawat kawasan banjir lumpur di Kampung Iboi. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ketika melawat kawasan banjir lumpur di Kampung Iboi. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Jambatan sementara akan segera dibina di Lata Celak

BALING: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan segera membina jambatan sementara di Lata Celak, Kampung Iboi, selepas jambatan konkrit di situ runtuh dan dihanyutkan kepala air petang semalam.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pembinaan jambatan itu penting bagi memudahkan penduduk melakukan aktiviti harian termasuk berulang-alik ke sekolah dan masjid.

"Sekolah dan masjid hanya di seberang sana dan dekat dengan rumah penduduk, sebab itu kita perlu buat jambatan sementara di sungai kampung ini.

"Kita buat jambatan sementara dahulu sebab kalau nak buat jambatan konkrit yang siap sepenuhnya mengambil masa," katanya ketika ditemui selepas meninjau kesan banjir di sekitar Kampung Iboi di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, segala bantuan berkaitan pembaikan atau pembinaan infrastruktur dan rumah yang rosak akibat bencana itu akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU).

"Kita bersetuju semua sekali dikoordinasi oleh ICU dan semua agensi lain itu akan ikut kepada ICU.

"KPLB mempunyai peruntukan segera untuk kerja membaik pulih kemudahan yang terjejas kerana banjir di sini, namun memerlukan penelitian terperinci sebelum meluluskan jumlah peruntukan," katanya.

Beliau berkata, KPLB menerusi GiatMara akan membantu membaik pulih kira-kira 70 rumah penduduk yang rosak akibat bencana.

Mengenai sama ada terdapat premis KPLB seperti TABIKA Kemas turut terjejas dalam bencana itu, Mahdzir berkata, tiada premis KPLB terjejas namun dimaklumkan terdapat kakitangan Kemas terbabit dengan banjir berkenaan.

Kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku petang semalam itu mengorbankan tiga beranak manakala tujuh rumah musnah dihanyutkan arus deras.

Untuk rekod, Kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan peringkat awal bernilai RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa banjir di sini manakala keluarga yang terbabit dengan kehilangan nyawa akan diberi sumbangan bernilai RM10,000.

Dalam laporan media, Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus dipetik sebagai berkata, setakat ini sumbangan disalurkan kepada lebih 100 keluarga yang ditempatkan di beberapa pusat penempatan sementara (PPS) di sini.

Berita Harian X