Selasa, 5 Julai 2022 | 4:32pm

Kaut untung berlebihan seludup minyak bersubsidi ke Thailand

BACHOK: Permintaan tinggi dan perbezaan harga yang ketara antara penyumbang utama berlakunya ketirisan minyak masak subsidi ke Thailand.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam, berkata pihak terbabit mengambil kesempatan mengaut untung berlebihan dengan menyeludup bahan itu ke negara jiran.

Beliau berkata, satu perbincangan khusus dengan semua agensi penguatkuasaan sudah dilakukan, semalam bagi membincangkan masalah ketirisan minyak masak yang berlaku.

"Mesyuarat itu bagi menyelaras tindakan yang perlu diambil untuk mengurangkan kegiatan penyeludupan dan setiap agensi akan memainkan peranan masing-masing.

"Adalah tidak adil apabila subsidi yang dikeluarkan Malaysia namun diseleweng dan dinikmati rakyat negara lain," katanya pada sidang media selepas melawat kilang pembungkus minyak di Beris Kubor Besar, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Azman berkata, pihaknya mengenal pasti peringkat mana yang menyumbang kepada berlakunya ketirisan.

"Untuk minyak subsidi, kita mempunyai 22 pengilang, 305 pembungkus berlesen, 4,151 syarikat pemborong dan lebih 30,000 peruncit.

"Jadi, setiap peringkat ini mempunyai peluang yang mendorong kepada ketirisan dan disebabkan itu, kita akan membuat pemeriksaan di semua peringkat bagi mengesan perbuatan itu.

"Selain kawalan sempadan, kita turut memberi tumpuan supaya bekalan minyak subsidi itu tidak diberi kepada pihak yang tidak sepatutnya seperti industri besar," katanya.

Beliau berkata, pihak yang terbabit kepada ketirisan minyak bersubsidi itu akan digantung lesen, gantung kuota selain disiasat mengikut mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam (kiri) melawat kilang pembungkus minyak di Beris Kubor Besar, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam (kiri) melawat kilang pembungkus minyak di Beris Kubor Besar, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X