Selasa, 5 Julai 2022 | 2:34pm
Abdul Rahman (berdiri tengah ) hadir pada Pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) 2022-2026 di Dewan Seri Lestari KPLB hari ini.- Foto/NSTP Samadi Ahmad.
Abdul Rahman (berdiri tengah ) hadir pada Pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) 2022-2026 di Dewan Seri Lestari KPLB hari ini.- Foto/NSTP Samadi Ahmad.

KPLB beri jaminan bantu mangsa banjir di Baling, Kedah

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sudah mengarahkan Pejabat KPLB Kedah memantau situasi banjir termasuk membuat penilaian segera mengenai infrastuktur penduduk yang terkesan kejadian kepala air dan banjir buruk di Mukim Kupang, Baling, semalam.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata arahan itu sudah dikeluarkan Menteri KPLB, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk meneliti keperluan pembangunan semula infrastrukturluar bandar, Program Ameniti Sosial (PAMS) serta bantuan rumah di bawah Projek Perumah Rakyat Keluarga Malaysia yang terkesan dengan bencana itu.

Katanya, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan lengkap berkenan bencana itu namun seperti biasa agensi di bawah KPLB adalah yang terawal datang membantu.

"Jumlah kerosakan infrastruktur luar bandar di kawasan itu sedang dalam proses penilaian dan selepas menerima laporan lengkap barulah bentuk bantuan boleh disalurkan kepada penduduk yang terjejas," katanya pada sidang media selepas Pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) 2022-2026 di sini, hari ini.

Pelan Anti Rasuah KEMAS 2022-2026 ini bertujuan mewujudkan imej dan kualiti perkhidmatan 25,000 kakitangan KEMAS ke arah memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Banjir lumpur di Baling semalam, mengakibatkan beratus-ratus penduduk dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dengan lebih 80 rumah terjejas serta meragut tiga nyawa, dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam.

Abdul Rahman berkata, bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa adalah sama seperti fenomena kepala air berlaku yang berlaku di sekitar kawasan Gunung Jerai, Ogos tahun lalu.

Katanya, selain itu KPLB akan mengagihkan bakul makanan kepada mangsa supaya mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Berita Harian X