Selasa, 5 Julai 2022 | 1:57pm

Tiada pembalakan di Hutan Simpan Gunung Inas - Takiyuddin

KUALA LUMPUR: Laporan rasmi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mengesahkan tiada aktiviti pembalakan aktif di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas sehingga mengakibatkan kejadian kepala air dan banjir kilat di Baling, semalam.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata sebaliknya terdapat pembangunan ladang hutan di kompartmen lapan, Hutan Simpan Gunung Inas sejak 2019 yang mendapat kelulusan kerajaan negeri Kedah.

Takiyuddin Hassan. - Foto fail NSTP
Takiyuddin Hassan. - Foto fail NSTP

Tujuan pembangunan ladang hutan itu adalah bagi penanaman semula, yang setakat ini membabitkan penanaman lebih 5,000 pokok di kawasan seluas 52 hektar.

"JPSM telah membuat semakan dan siasatan serta mengesahkan bahawa pokok yang dihanyutkan itu adalah bukan daripada kayu-kayu balak akibat aktiviti pembalakan. Ini adalah kerana kayu-kayu itu dihanyutkan bersama akar-akarnya sendiri.

"Jadi kita mahu betulkan anggapan sesetengah pihak bahawa berlakunya pembalakan aktif yang menjadi punca berlakunya kepala air di sungai (Sungai Kupang) itu," katanya kepada BERNAMA selepas menjadi tetamu program Jendela Fikir di Bernama Radio hari ini.

Penduduk melakukan pencarian susulan kepala air dan banjir lumpur di Kampung Iboi, Baling. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Isnin, beberapa kawasan dilaporkan terjejas dan menyebabkan tiga sekeluarga maut dihanyut banjir lumpur. - Foto NSTP/Danial Saad

Banjir lumpur di Baling semalam mengakibatkan beratus-ratus penduduk dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dengan lebih 80 rumah terjejas serta meragut tiga nyawa, dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam.

Takiyuddin berkata pihaknya juga amat dukacita atas kejadian bencana alam itu.

"Ini adalah satu bencana alam, mungkin ada banyak sebab ia berlaku dan oleh sebab itu kementerian amat serius dalam menjaga biodiversiti dan alam sekitar," katanya.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus (dua dari kanan) melihat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengeluarkan mangsa yang maut terperangkap dalam banjir lumpur dan kepala air di Kampung Iboi, Baling. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Isnin, beberapa kawasan dilaporkan terjejas dan menyebabkan tiga sekeluarga maut dihanyut banjir lumpur. - Foto NSTP/Danial Saad

Berita Harian X