Isnin, 4 Julai 2022 | 2:22pm

Tukun tiruan pertingkat hasil laut negara

PASIR PUTEH: Sebanyak 212 tukun tiruan pelbagai jenis dilabuhkan di perairan negara sejak tahun 2007, membabitkan kos RM3 juta.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata kehadiran tukun tiruan didapati meningkatkan pembiakan ikan, sejak beberapa tahun ini.

Katanya, antara tukun yang biasa dilabuhkan adalah tukun jenis konservasi dan tukun tiruan rekreasi.

"Kita dapati hasil ikan dapat dibiakkan secara teratur dan meningkat. Malah, mutakhir ini kita lihat sotong juga bertambah.

"Kalau biasa sotong hanya banyak pada bulan lima, enam dan tujuh tetapi dua, tiga tahun ini bekalan sotong sentiasa ada dengan adanya tukun-tukun tiruan ini," katanya pada sidang media di Program Melabuh Tukun Tiruan (Konservasi) Negeri Kelantan oleh Jabatan Perikanan Malaysia di perairan Tok Bali, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kelantan, Nazri Ishak; Exco Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan timbalannya, Ab Azizz Kadir.

Nik Zawawi berkata, kehadiran tukun tiruan turut mengekang aktiviti bot pukat tunda yang menjejaskan ekosistem laut.

Katanya, rekaan tukun tiruan konkrit dengan berat antara 0.3 hingga tujuh tan mampu merosakkan bot pukat tunda yang biasanya dilakukan nelayan asing yang mengaut hasil laut negara.

"Hari ini, kita labuhkan tujuh tukun jenis konservasi bernilai RM270,000 di perairan Tok Bali-Semerak," katanya.

Nik Zawawi berkata, dengan peningkatan hasil laut, MAFI berharap nelayan zon B turut menaik taraf bot mereka bagi mencari ikan dan hasil laut lain di Zon C.

Katanya, kerajaan turut mempermudahkan urusan membabitkan nelayan tidak ada pengenalan diri bagi memastikan bekalan makanan asasi dalam negara mencukupi.

"Kita kesan lebih 10,000 nelayan tiada pengenalan diri atau dokumen yang mana kita berikan kad bekerja dengan jaminan daripada taukeh atau pengusaha bot dalam untuk mereka boleh bekerja," katanya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (tengah) ketika meninjau program melabuhkan tukun tiruan jenis konservasi oleh Jabatan Perikanan Negeri Kelantan di Perairan Tok Bali, Pasir Puteh. NSTP/NOR AMALINA ALIAS
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (tengah) ketika meninjau program melabuhkan tukun tiruan jenis konservasi oleh Jabatan Perikanan Negeri Kelantan di Perairan Tok Bali, Pasir Puteh. NSTP/NOR AMALINA ALIAS
Berita Harian X