Ahad, 3 Julai 2022 | 5:25pm
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin. - Foto AMIR MAMAT
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin. - Foto AMIR MAMAT

PBM belum mohon sertai BN

MELAKA: Parti Bangsa Malaysia (PBM) masih belum menghantar permohonan rasmi untuk menyertai Barisan Nasional (BN) bagi membentuk sebuah gabungan parti baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin, ketika mengesahkan perkara itu, berkata ianya sedang dibincang dan akan dimuktamadkan oleh pucuk kepemimpinan parti dalam masa terdekat.

"Saya belum lagi menghantar surat permohonan untuk menganggotai BN (sebaliknya) akan memuktamadkan perkara ini dalam masa terdekat menerusi perbincangan antara kepemimpinan tertinggi parti.

"Kita lihat dalam kerajaan sekarang ada BN dan PN (Perikatan Nasional), tetapi saya tahu PN selalu bergaduh dengan BN, itu kerajaan sekaranglah," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Ladang Koko Ting Agro Entrerprise, Panchor, di sini hari ini.

Zuraida yang diumumkan sebagai `Presiden pengganti' PBM, turut mengakui pernah menawarkan penyertaan parti itu dalam PN untuk berjuang bersama-sama sebagai satu gabungan politik.

"Saya hendak membantu memperkukuhkan mereka (PN) antara sebuah parti pelbagai kaum dengan parti yang dipimpin oleh seorang wanita yang mana kepemimpinan wanita di negara ini sekarang masih lompong.

"PBM adalah sebuah parti berteraskan akar umbi yang kuat, 150 bahagian dan bakal merubah landskap politik negara ini," katanya.

Beliau turut mengesahkan masih belum berkesempatan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk berbincang mengenai status jawatannya sebagai menteri Kabinet.

Sebelum ini, Presiden PBM, Larry Sng dilaporkan berkata, PBM adalah parti yang menyokong kerajaan Keluarga Malaysia yang dipelopori Ismail Sabri selaku Perdana Menteri.

Selain itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini turut memaklumkan belum menerima permohonan rasmi daripada PBM, bagaimanapun terbuka untuk mempertimbangkan penyertaan parti itu bagi menyertai gabungan besar BN.

Berita Harian X