Jumaat, 1 Julai 2022 | 8:22pm

Kerajaan sedang selesaikan isu kontraktor Melayu gagal baharui lesen

KOTA BHARU: Kerajaan dalam proses menyelesaikan isu yang dialami kira-kira 50,000 kontraktor Melayu gred G1 hingga G7 yang gagal memperbaharui lesen atas pelbagai faktor terutama disebabkan kenaikan harga bahan binaan dan situasi pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya sudah maklum berkenaan isu terbabit seterusnya mengusulkan permasalahan itu kepada Kementerian Kewangan (MoF).

"Kementerian Kerja Raya sudah berbincang dengan MoF untuk memperluaskan lagi skop liputan barang yang dipersetujui bagi ditambahkan kenaikan harga.

"Setakat ini belum ada keputusan lagi tapi sudah bangkitkan perkara ini kepada MoF, dalam proses (dipertimbangkan)," katanya ketika sidang media selepas sesi dialog bersama pihak industri dan NGO di Kelantan mengenai isu ekonomi di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mustapa berkata, sudah banyak laporan berkaitan masalah itu diterima dan pihaknya sedia maklum malah memahami akan kesan kepada projek termasuk tambahan peruntukan yang diperlukan bagi menyiapkan sesuatu projek.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz yang menyifatkan 50,000 kontraktor Melayu gred G1 hingga G7 ibarat gulung tikar kerana tidak memperbaharui lesen sejak 2018 disebabkan faktor yang dinyatakan.

Ia disebabkan pelbagai faktor yang menyumbang masalah berkenaan termasuklah modal tidak mencukupi dan kekurangan projek susulan pandemik COVID-19 sekaligus menyebabkan ada dalam kalangan mereka menanggung hutang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berucap ketika hadir bersama Pihak Industri dan NGO Kelantan mengenai Isu Ekonomi di Grand Renai Hotel - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berucap ketika hadir bersama Pihak Industri dan NGO Kelantan mengenai Isu Ekonomi di Grand Renai Hotel - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X