Jumaat, 1 Julai 2022 | 2:15pm
Mulai Isnin ini, warga Malaysia yang akan pulang ke negara ini, tidak lagi perlu mengisi dan melengkapkan ciri-ciri Pas Pengembara (Traveller’s Pass) dalam aplikasi MySejahtera. - Foto hiasan NSTP
Mulai Isnin ini, warga Malaysia yang akan pulang ke negara ini, tidak lagi perlu mengisi dan melengkapkan ciri-ciri Pas Pengembara (Traveller’s Pass) dalam aplikasi MySejahtera. - Foto hiasan NSTP

Warga Malaysia tidak perlu isi Pas Pengembara mulai Isnin

KUALA LUMPUR: Mulai Isnin ini, warga Malaysia yang akan pulang ke negara ini, tidak lagi perlu mengisi dan melengkapkan ciri-ciri Pas Pengembara (Traveller's Pass) dalam aplikasi MySejahtera mereka.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kelonggaran itu bagi memudahkan warganegara kembali ke Malaysia.

Selain itu, katanya, ketika ini keadaan sistem kesihatan negara juga sudah berada pada tahap yang baik dan memuaskan.

"Pemansuhan ini akan dibuat secara berperingkat untuk turut memberi kelonggaran kepada kumpulan lain seperti pemegang pas sosial, pas pelajar serta penduduk tetap pada masa depan yang akan diumumkan kelak.

"Sebagai permulaan, pemansuhan ini hanya terpakai kepada warganegara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Khairy berkata, ciri-ciri Pas Pengembara masih dipaparkan di aplikasi MySejahtera dan ia perlu dilengkapkan oleh pengembara bukan warganegara Malaysia sebelum memasuki negara ini.

Katanya, selain pemantauan kes COVID-19 dalam kalangan pengembara luar, ciri-ciri itu perlu dilengkapkan oleh mereka supaya Kementerian Kesihatan (KKM) berupaya membuat pemantauan rapi ke atas penyakit berjangkit lain dari luar negara seperti cacar monyet.

Berita Harian X