Jumaat, 1 Julai 2022 | 10:46am

Peguam Abdul Azeez mohon keputusan rayuan kes rasuah ditangguh

PUTRAJAYA: Pasukan pembelaan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memohon keputusan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji itu bagi membatalkan 13 tuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Rayuan di sini hari ini, ditangguhkan.

Peguam, Amer Hamzah Arshad, berkata ia bagi memberi ruang dan masa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap penemuan fakta serta bukti baharu kes itu yang diserahkan oleh pihaknya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Katanya, beliau juga dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sedang meneliti perkara berkenaan daripada aspek tertentu.

"Pada 27 Jun lalu, kami menerima maklum balas daripada SPRM berkaitan representasi dan surat sokongan kes itu yang diserahkan oleh kami kepada AGC.

"Kami dimaklumkan mengenai isu dibangkitkan pasukan pembelaan, mereka (SPRM) akan ambil tindakan susulan dan buat penjelasan.

"Atas perkembangan itu, kami dengan rendah diridan memohon jasa baik mahkamah untuk menangguhkan keputusan hari ini. Saya difahamkan pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap perkara ini," katanya.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad, berkata pihaknya diberi arahan supaya tidak membantah permohonan pihak pembelaan.

"Kami dimaklumkan ada perkembangan terkini membabitkan kes itu dan AGC perlu masa untuk membuat penelitian menyeluruh," katanya.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menetapkan 26 Ogos ini bagi keputusan rayuan itu, selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Kamaludin berkata, mahkamah menangguhkan keputusan rayuan itu untuk kali terakhir, kerana kes itu sudah berjalan dalam tempoh lama.

"Sebarang keputusan daripada pihak SPRM perlu dibuat secepat mungkin," katanya.

Pada 12 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Abdul Azeez bagi membatalkan kes sama.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati, pertuduhan yang dikenakan terhadap Abdul Azeez tidak cacat.

Muhammad Jamil dalam penghakimannya, berkata mahkamah juga mendapati alasan permohonan Abdul Azeez tidak bermerit, manakala tertuduh gagal menunjukkan pendakwaan terhadapnya adalah bersifat mala fide (berniat jahat).

Abdul Azeez, 54, yang juga Ahli Parlimen Baling menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 serta dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Abdul Azeez (tengah) hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan rayuan untuk membatalkan kes rasuahnya di Mahkamah Rayuan Putrajaya. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Abdul Azeez (tengah) hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan rayuan untuk membatalkan kes rasuahnya di Mahkamah Rayuan Putrajaya. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X