Jumaat, 1 Julai 2022 | 8:34am
Guru Besar SK Padang Garuda, Mohd Alhamadi Abu Bakar mewujudkan Galeri Mat Kilau sejak enam tahun lalu.- Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Guru Besar SK Padang Garuda, Mohd Alhamadi Abu Bakar mewujudkan Galeri Mat Kilau sejak enam tahun lalu.- Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Galeri Mat Kilau di SK Padang Garuda

KUANTAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garuda, di sini mewujudkan Galeri Mat Kilau yang menjadi antara tempat rujukan pencinta sejarah pahlawan Mat Kilau yang menjadi kebanggaan rakyat Pahang.

Guru Besar SK Padang Garuda, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 56, berkata galeri yang dibuka sejak enam tahun lalu menyimpan lebih 80 gambar yang memaparkan sebahagian cerita Mat Kilau ketika hayatnya bersama keluarga, rakan seperjuangan dan masyarakat setempat.

Menurutnya, beberapa bilah keris, busana Melayu, tanjak dan senjata Melayu turut dipamerkan bagi memberi lebih keceriaan kepada pengunjung yang datang melawat.

"Kita menerima pelawat daripada dalam dan luar Pahang yang datang untuk melihat sendiri galeri Mat Kilau yang dibangunkan dengan kerjasama guru SK Padang Garuda.

"Lukisan Mat Kilau juga terdapat pada dinding sekolah yang menjadi sebahagian daripada galeri Mat Kilau," katanya, di sini, semalam.

Beliau yang juga cucu pahlawan Mat Kilau menambah, dia dan guru SK Padang Garuda berbangga dapat menyediakan galeri berkenaan.

Katanya, galeri itu akan menjadi rujukan kepada generasi muda yang ingin mendapat cerita sebenar pahlawan Pahang itu.

Mohd Alhamadi berkata, sokongan pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan menambahkan lagi semangatnya dan guru SK Padang Garuda mewujudkan galeri Mat Kilau.

"Sebagai cucu Mat Kilau atau nama sebenarnya Mohamed Rasu Abdul Salam, saya berbangga dapat terus memperkenalkan pahlawan yang banyak berjasa dalam mempertahankan tanah air daripada ancaman penjajah.

"Saya berharap generasi muda hari ini tidak terus membiarkan sejarah pahlawan yang ada di negara ini di telan kemajuan serta keamanan negara hari ini," katanya.

Berita Harian X