Khamis, 30 Jun 2022 | 8:31am

KPDNHEP rayu MoF tambah peruntukan minyak masak paket

KANGAR: Kementerian Kewangan dirayu menambah peruntukan bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata setakat ini, pihaknya masih kekal dengan bekalan 60,000 tan sebulan.

"Namun begitu, kita sedia maklum rata-rata laporan diterima kami adalah berlaku kekurangan bekalan (minyak masak paket bersubsidi) sehinggakan rak kedai runcit dan pasar raya kosong.

"Jadi kita merayu kepada Kementerian Kewangan untuk menambahkan lagi sedikit peruntukan kepada kita (minyak masak paket bersubsidi)... sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Peringkat Negeri Perlis di Brasmana Foodtruck and Flea Market, Kuala Perlis di sini semalam.

Pada 26 Jun lalu, KPDNHEP mencadangkan kuota tambahan 10,000 tan bagi mengatasi kekurangan minyak masak paket bersubsidi di pasaran.

Permohonan itu dikemukakan KPDNHEP kepada Kementerian Kewangan selepas berlaku kekurangan minyak masak paket bersubisi disebabkan ia menjadi pilihan utama pengguna ekoran kenaikan harga minyak masak botol.

Sementara itu, menyentuh perkembangan Program ReDI pula, seramai 3,919 peniaga kini beralih ke medium digital selepas program berkenaan diperluaskan antaranya di Putrajaya, Hulu Terengganu, Kapit di Sarawak, Pulau Pangkor, Labuan, Sandakan selain Kuala Perlis sebagai lokasi terbaru Program ReDI.

Inisiatif ReDI ini bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada wang tunai, malah memberi pelbagai manfaat kepada pengguna dan peniaga dalam tiga aspek iaitu mudah, cepat dan selamat.

Selain itu, bagi menyokong pelaksanaan ReDI dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Perlis serta Majlis Perbadanan Kangar (MPKPs), kementerian bersetuju menyalurkan peruntukan RM30,000 bagi melaksanakan program insentif baharu kepada peniaga dan pengguna tanpa tunai di Kuala Perlis.

Berita berkaitan:

  • Sudah sebulan kedai runcit tak terima bekalan minyak masak
  • Peniaga had pembelian minyak masak paket
  • 'Beli barang lain, baru boleh beli minyak paket'
  • Tiada elemen sorok minyak masak di pasar raya Lotus
  • Datuk Rosol Wahid menyempurnakan majlis pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Peringkat Negeri Perlis di Brasmana Foodtruck and Flea Market, Kuala Perlis, Kangar. - Foto NSTP/ Aizat Sharif
    Datuk Rosol Wahid menyempurnakan majlis pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Peringkat Negeri Perlis di Brasmana Foodtruck and Flea Market, Kuala Perlis, Kangar. - Foto NSTP/ Aizat Sharif
    Berita Harian X