Rabu, 29 Jun 2022 | 6:28pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

2 waris lengkap vaksinasi dibenar kendali jenazah dijangkiti COVID-19

PUTRAJAYA: Dua waris dengan status vaksinasi lengkap kini dibenarkan untuk turut serta dalam proses pengendalian jenazah yang dijangkiti COVID-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata waris berkenaan perlu memakai alat pelindung diri (PPE) dan perlu ditemani pengendali jenazah terlatih di hospital.

"Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tatacara pengurusan jenazah Islam dan bukan Islam yang dijangkiti COVID-19 sudah disemak semula supaya ia relevan dengan situasi semasa.

"Semakan semula ini sejajar dengan Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ketiga Tahun 2021 yang bersidang pada 26 Julai 2021.

"Antara pindaan tatacara dalam pengurusan jenazah Islam dijangkiti COVID-19 ialah dibenarkan untuk dimandi dan dikapankan dengan mengikuti amalan langkah berjaga-jaga seperti urusan mandi serta kapan dilakukan pengendali jenazah terlatih di hospital dengan pemakaian PPE lengkap dan bersesuaian.

"Hanya dua waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai PPE yang lengkap dan bersesuaian dibenarkan turut serta dalam urusan memandikan dan mengapankan jenazah bersama pengendali jenazah yang terlatih di hospital.

"Selain itu, perlu elakkan aktiviti berunsur aerosol generating procedure (AGP) ke atas jenazah seperti menekan perut jenazah," katanya dalam kenyataan, semalam.

Sebelum ini, ahli keluarga tidak dibenarkan untuk mengurus jenazah di rumah atau tempat lain sebaliknya jenazah akan diuruskan sepenuhnya di hospital.

Hanya seorang ahli keluarga dibenarkan untuk mengenal pasti jenazah dengan penjarakan satu meter dengan memakai PPE dan tidak dibenarkan sama sekali mencium serta menyentuh jenazah.

Semua jenazah pesakit COVID-19 akan dibalut sehelai linen putih dan dua lapisan beg mayat.

Lapisan paling luar beg mayat akan disanitasi dengan 0.5 peratus sodium hypochlorite.

Ahli keluarga dilarang membuka beg mayat atau keranda yang ditutup.

Bagi jenazah bukan Islam, sekiranya terdapat upacara ritual yang perlu dilakukan, prosedur perlu dilakukan seminimum mungkin dan dilakukan di lapisan paling luar beg mayat.

Mayat perlu segera dibakar atau ditanam mengikut agama masing-masing dan penghormatan terakhir dibuat berdasarkan prosedur operasi standard yang ditetapkan dengan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan dengan pemantauan daripada pihak KKM.

Khairy berkata, bagi jenazah bukan Islam, sekiranya prosedur 'last rite' memerlukan penukaran pakaian baharu, pakaian itu boleh diletakkan di atas badan jenazah tanpa membabitkan aktiviti AGP.

"Hanya dua waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai PPE lengkap dan bersesuaian dibenarkan turut serta dalam urusan prosedur last rite," katanya.

Khairy berkata, selain itu antara tatacara pengurusan jenazah yang turut disemak semula adalah penggunaan satu beg mayat bagi setiap jenazah dijangkiti COVID-19 berbanding sebelum ini yang perlu menggunakan dua beg mayat bagi setiap jenazah.

"Untuk pengebumian jenazah, KKM tidak menetapkan jumlah waris boleh terbabit dalam proses pengebumian tetapi perlu memakai PPE bersesuaian.

"KKM juga tidak menetapkan jumlah kehadiran untuk menyaksikan proses pengebumian jenazah. Namun, KKM menggalakkan individu hadir untuk memakai pelitup muka dan elak bersesak," katanya.

Berita Harian X