Selasa, 28 Jun 2022 | 9:12pm
Lufya dakwa dicederakan lelaki yang cuba menculik anaknya. - Foto IG LUFYA
Lufya dakwa dicederakan lelaki yang cuba menculik anaknya. - Foto IG LUFYA

Polis minta Lufya tampil buat laporan

KUALA LUMPUR: Polis belum menerima laporan daripada pelakon dan penyanyi, Lufya, yang mendakwa dicederakan dengan kayu oleh seorang lelaki dalam cubaan menculik anaknya di sebuah taman permainan di Kota Damansara, Petaling Jaya, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, memaklumkan belum ada mana-mana pihak termasuk Lufya sendiri tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Kita sudah buat semakan dan mendapati mangsa belum membuat laporan polis.

"Justeru, kita nasihatkan mangsa tampil membuat laporan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Terdahulu, BH melaporkan, Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 35, mendakwa berdepan detik cemas apabila dipukul di bahagian kepala dan badan dengan kayu dalam cubaan menculik anaknya, Laana Haura, 5, di taman permainan terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Lufya mendakwa seorang lelaki berbadan besar memukulnya sehingga beliau mengalami kecederaan teruk ketika cuba menyelamatkan anaknya itu.

Ketika dihubungi BH Online, Lufya sedang mendapatkan rawatan dan akan membuat laporan polis, hari ini.

Berita Harian X