Isnin, 27 Jun 2022 | 7:26pm
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. - Foto fail BERNAMA
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. - Foto fail BERNAMA

Dua kali tanda tangan SD sokong Anwar - Nazri

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendedahkan sokongan bagi melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri melalui akuan bersumpah (SD) ditandatanganinya bersama beberapa pemimpin UMNO sebanyak dua kali sebelum ini.

Mohamed Nazri yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, berkata ketika itu, SD terbabit turut ditandatangani bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Untuk rekod, pada 23 September 2020, Anwar mengadakan sidang media tergempar dan mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan "kukuh dan meyakinkan" untuk menjadi perdana menteri baharu menggantikan Muhyiddin.

Presiden PKR itu kemudian diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober dan mempersembahkan dokumen yang didakwa mengandungi butiran sokongan majoriti Ahli Parlimen yang diperlukan.

Bagaimanapun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Anwar tidak mempersembahkan senarai nama Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya.

Mengulas lanjut, Nazri berkata, SD itu ditandatangani mereka ketika krisis pentadbiran semasa kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Memang betul...SD itu ditandatangani masa Tun Dr Mahathir Mohamad (menjadi Perdana Menteri) sekali dan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali.

"Ketika itu saya tandatangan sebab nak menyelamatkan UMNO...kita sokong Anwar sebab kedua-dua pemimpin (Mahathir dan Muhyiddin) ini nak bubarkan UMNO (ketika itu).

"Masa itu saya Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), kita kejar Anwar supaya tolong jangan bubarkan UMNO," katanya kepada BH, di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan Tajuddin yang juga bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, bahawa wujudnya SD dalam kalangan Ahli Parlimen parti itu bagi menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Tajuddin dipecat dari MKT UMNO beberapa hari lalu berikutan tindakan Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu yang dikatakan mengkritik parti.

Pada masa sama, Nazri berkata, pendirian beberapa Ahli Parlimen parti itu dalam menyokong Anwar yang juga Presiden PKR sebagai Perdana Menteri bagaimanapun 'terbatal' selepas pendirian UMNO menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) melalui Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020), Mac tahun lalu.

"SD itu ditandatangani sebelum PAU memutuskan 'No Anwar'dan 'No DAP' dan apabila keputusan berkenaan dibuat maka terbatal dan lupuslah (sokongan Anwar jadi perdana menteri)," katanya.

SD kali pertama bagi menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri dipercayai dilakukan ketika peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada Februari 2020 selepas insiden Langkah Sheraton.

SD kedua pula dipercayai ditandatangani ketika krisis politik Ogos tahun lalu yang membawa kepada peletakan jawatan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sebelum Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri mengambil alih pentadbiran.

Berita Harian X