Isnin, 27 Jun 2022 | 1:30pm

M40 juga terkesan kenaikan harga, AMANAH desak kerajaan beri perhatian serius

PUTRAJAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa kerajaan turut memberi perhatian serius kepada golongan M40 yang juga terkesan dengan isu kenaikan harga barang yang berlarutan sejak tiga bulan lalu.

Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH, Sany Hamzan, berkata tambahan bantuan kepada golongan B40 dan miskin bandar dalam Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) juga dilihat tidak dapat menampung keperluan kumpulan sasar terbabit.

Katanya, rakyat ketika ini dibebani masalah bekalan barangan makanan dan kenaikan harga secara mendadak sehingga mengancam keselamatan sekuriti makanan negara.

"Walaupun kerajaan mengumumkan tambahan bantuan kepada penerima BKM, ia tidak dapat menampung pendapatan golongan B40 dan miskin bandar.

"Malah golongan M40 juga terkesan dengan isu ini yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum mendesak kerajaan menangani kenaikan harga barang kepada Kementerian Kewangan (MoF), di sini hari ini.

Turut hadir bagi menyerahkan memorandum itu adalah Exco AMANAH yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil. Memorandum diterima Ketua Unit Komunikasi Strategik dan Hubungan Korporat, Seksyen Komunikasi Korporat MOF, Chua Hin Chiew.

Sany berkata, pihaknya merancang satu perhimpunan di ibu negara pada 1 Julai ini bagi mendesak diperuntuk semula subsidi makanan asas rakyat seperti ayam, telur dan minyak masak.

Katanya, perhimpunan itu akan diadakan di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur jika masalah kenaikan harga barang yang berlarutan sejak tiga bulan lalu, masih gagal ditangani kerajaan.

Beliau berkata, pihaknya turut mendesak kerajaan memanggil sidang khas Parlimen bagi membincang dan membahaskan isu bekalan barangan dan sekuriti makanan, selain menggesa permit import (AP) bagi semua barang makanan import dibatalkan.

"Memorandum ini adalah atas dasar keinsafan dan kesedaran, bukan membabitkan politik. Kami mewakili rakyat Malaysia yang sentiasa merasai keluh kesah rakyat menuntut kerajaan mengambil tindakan segera serta sewajarnya bagi menangani masalah ini," kata Sany.

Pada 22 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk menghentikan penyaluran RM700 juta subsidi untuk menstabilkan harga ayam dan telur kerana mendapati ia tidak mencapai hasrat seperti dikehendaki.

Katanya lagi, ketetapan itu juga dibuat kerana terdapat pihak yang mengambil kesempatan dengan terus menaikkan harga barang, kemudian memberi jaminan harga ayam tidak akan diapungkan dalam pasaran, sebaliknya paras siling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri juga menafikan dakwaan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak secara keseluruhan, sedangkan subsidi minyak masak peket yang bermula sejak Jun 2007 masih dilaksanakan dan tidak ditarik balik.

Kata Ismail Sabri, subsidi ditanggung kerajaan untuk minyak masak berpeket bagi membolehkan ia dijual dengan harga RM2.50 sekilogram (kg) ketika ini, berbanding harga pasaran sebenar RM9 bagi kegunaan domestik.

Beliau menjelaskan, pemansuhan itu hanya membabitkan program subsidi sementara yang bermula Ogos 2021 untuk membantu rakyat terkesan akibat pandemik COVID-19, merangkumi minyak masak botol 1 hingga 5kg, membabitkan peruntukan RM55 juta sebulan.

Katanya lagi, kerajaan terpaksa memansuhkan program itu selepas mendapati minyak masak botol bersubsidi banyak diselewengkan pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan pemansuhan subsidi minyak masak tulen botol berkapasiti dua hingga lima kg, bermula 1 Julai.

Khamis lalu, Ismail Sabri mengumumkan tambahan bayaran RM50 dan RM100 kepada penerima BKM selepas mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan ketika ini.

Bantuan tunai tambahan itu akan disalurkan kepada golongan B40, masing-masing RM100 bagi isi rumah dan RM50 untuk individu bujang, memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima, merangkumi empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas dan 3.4 juta individu bujang.

Sany (kiri) dan Muhammad Faiz (kanan) menyerahkan memorandum kepada Hin Chiew (dua dari kiri) di Putrajaya. - NSTP/Samadi Ahmad
Sany (kiri) dan Muhammad Faiz (kanan) menyerahkan memorandum kepada Hin Chiew (dua dari kiri) di Putrajaya. - NSTP/Samadi Ahmad
Berita Harian X