X
Ahad, 26 Jun 2022 | 8:38pm
Foto hiasan BERNAMA
Foto hiasan BERNAMA

Hidupkan semula Rancangan Buku Hijau

KUALA LUMPUR: Tiba masa kerajaan menghidupkan semula Rancangan Buku Hijau (RBH), yang diperkenalkan pada 1974 bagi menjamin sekuriti makanan di negara ini dan menggalakkan rakyat terbabit secara aktif dalam pertanian.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata RBH yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein ketika negara berdepan masalah akibat inflasi, bertujuan menambah hasil makanan dalam negara dan membentuk rakyat yang lebih berdikari.

Katanya, masalah sekuriti makanan, antaranya berpunca daripada kenaikan harga barangan di peringkat global tidak boleh dipandang ringan, justeru satu langkah segera perlu diambil kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import.

"RBH menggalakkan rakyat lebih gigih dan giat berusaha bercucuk tanam untuk keperluan harian dan jualan. Ia menggalakkan tanaman jangka pendek, tanaman selingan seperti kacang tanah, bendi dan jagung serta ternakan ikan air tawar, kerbau dan lembu.

"Disebabkan pertanian adalah sepanjang masa, saya berpandangan, RBH ini relevan merentasi waktu. Apa yang pernah dicadangkan dulu harus diteruskan semula pada saat negara sedang mengalami masalah sekuriti makanan global ketika ini.

"Sudah tiba masanya kita menggalakkan rakyat bertani dan bercucuk tanam semula bagi menghijaukan negara ini dengan bekalan makanan yang boleh digunakan untuk kegunaan rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lam Thye berkata, bagi menjayakan RBH, langkah boleh dimulakan dengan bercucuk tanam di rumah, seterusnya ke kawasan tanah terbiar sehingga ke skala yang lebih besar.

"Kerajaan boleh mengeluarkan permit sementara kepada mereka yang ingin mengusahakan tanaman di tanah terbiar bagi kegunaan diri sendiri dan keluarga. Ini dapat membantu meringankan beban isi rumah dalam menyediakan bekalan makanan.

"Antara tanaman yang digalakkan adalah ubi seperti ubi kayu, keledek dan kentang. Bagi sayur pula, jagung, petola, bendi dan sayur kacang," katanya.

Berita Harian X